In Liberal Dosa

Wednesday, October 28, 2009
Kita sebenarnya sedikit kecewa apabila ada dikalangan mereka-mereka yang dilabelkan sebagai suara ‘sederhana’ dunia Islam (terutamanya oleh masyarakat bukan Islam; tempatan dan antarabangsa) sekarang ini memilih untuk bercakap tentang negara sekular sebagai contoh terbaik kepada kita di Malaysia. Pelbagai alasan diberi. Ada yang boleh diterima akal. Ada juga yang tidak dan membawa kegusaran di jiwa muslimin. Sebagai muslimin sudah tentulah kita sedar dan arif bahawa mereka yang beragama sudah tentulah lebih baik daripada mereka yang tidak beragama. Dan sebagai hamba Allah sudah tentulah kita tahu hukum syirik menyekutukan Allah s.w.t.

Oleh itu negara ‘beragama’ seperti Malaysia sudah tentulah pada dasarnya adalah lebih baik daripada negara-negara yang tidak beragama. Ataupun lebih baik daripada negara-negara yang menyekutukan Allah. Ini rasanya amat jelas difahami kita semua. Tetapi kenapa pula ada dikalangan kita dewasa ini tergamak membuat kesimpulan bahawa negara sekular Turki merupakan contoh terbaik kepada kita di Malaysia? Dan apa benarkah Amerika Syarikat, negara kolonialis pasca moden yang melanggar apa saja jenis konvensyen antarabangsa hak asasi manusia dalam kegilaan kempen perangnya (setelah menjadi satu-satunya negara yang berjaya menjadi semakin kaya selepas terlibat dalam Perang Dunia Ke-2) adalah contoh terbaik kepada kita semua?

Trend pemikiran sebegini sangat merisaukan. Kerisauan ini lahir bukan sebab kita tidak yakin dengan agama Islam, macam tempelak sesetengah mereka yang anti Islam dan anti muslim, sengaja mahu mencabar kesabaran dan kesederhanaan kita. Kita tidak risaukan agility agama Allah ini. Sejarah telah berkali-kali membuktikan, Islam boleh lahir dan berkembang dalam suasana-suasana yang sangat hostile. Kalau perlu, ya ia semestinya mampu! Itu tidak menjadi kerisauan. Lihat saja Belanda. Walaupun dengan kehadiran Ayaan Hirsi Ali (dan fitnahnya yang melampau) dan Fitna (filem yang menghina Islam tanpa berselindung), Islam masih mampu berkembang pesat di sana.

Begitu juga dengan saudara seagama kita di Russia (dan negara-negara bekas jajahannya) dan juga China yang mampu mengekalkan akidah dan cara hidup muslim. Itu juga sangat jelas. Tetapi jika suasana sedia ada, seperti di negara kita, sejak azali lagi kondusif untuk kemakmuran Islam (malah lahir juga di atas kemakmuran agama itu sendiri), kenapa perlu kita sendiri menidakkannya? Kenapa perlu kita melalui saat-saat gusar seperti yang dilalui muslim di negara-negara yang hostile dengan Islam? Kenapa pula kita perlu mengambil jalan yang akan menyusahkan kita, bila jalan mudah itu sudah terpampang di depan mata?

Sesungguhnya Allah telah menjadikan negara kita ini sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai agama rasminya, siapa pula kita yang mahu menolaknya? Islam itu agama yang mudah dan syukur kita kepada Allah kerana telah mempermudahkan Islam kepada kita semua. Kenapa dalam kesibukkan manusia mencari agama dan Tuhan (sampaikan ada yang mencipta agama baru-lihat saja Scientology-Tom Cruise), kita memilih untuk berada sedikit jauh dengan agama kita, apabila jalan penyelesaian kepada malaise masyarakat kita mahu diselesaikan dengan pertama-tamanya memisahkan agama daripada kehidupan kita?

Persoalannya, kenapa pemikiran sedemikian rupa boleh lahir daripada susuk-susuk yang kita anggap penting kepada dunia Islam lewat dunia pasca moden? Kenapa pula negara yang beragama seperti kita mahu lari daripada mendekatkan diri kita daripada Piagam Madinah, satu-satunya perlembagaan bertulis pertama dunia?! Kenapakah kita sanggup membuat pusingan 360 darjah dan memilih dua negara sekular ini? Apa hebat sangatkah Turki dan Amerika dalam beragama, sehinggakan kita (terutamanya muslim yang percaya bahawa dunia ini hanyalah sementara) perlu mengikut jejak mereka daripada mendekatkan diri kita dengan piagam yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri ?

Mustafa Kemal Ataturk memilih untuk tidak lagi beromantika dengan Empayar Uthmaniah apabila mengasaskan Republik Turki sekular. Ini jelas sejak awal lagi. Ini juga telah diperjelaskan dengan cukup terang dalam perlembagaan negara itu. Jadi apabila ada ura-ura atau gerakan yang seperti mahu meniup semula semangat Islam ke dalamnya, seluruh umat Istanbul memilih untuk keluar ke jalan dan memprotes keras. Bagi mereka agama perlu diasingkan daripada urusan-urusan negara dan kenegaraan! Dengan membawa sepanduk gambar Mustafa Kemal Ataturk dan mengibarkan bendera negara, rakyat Turki sering memperingatkan hal ini kepada kerajaan mereka. Dan begitu juga dengan ketumbukkan tenteranya, yang sering memerhatikan dengan tajam mata seekor helang; memerhati secara taktikal pergolakan semasa politik negara.

Kita tidak lupa akan siri-siri rampasan kuasa oleh tentera negara anggota Nato ini. Walaupun negara ini pada dasarnya sekular (tidak beragama dan tidak mempunyai agama rasmi, seperti Malaysia), namun sesiapa saja bebas mengamalkan agama masing-masing. Walau bagaimanapun pasti ada beberapa kumpulan yang akan mengatakan sebaliknya-pokoknya, dissents dan dissenting views ada saja di mana-mana.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemenangan demi kemenangan AK Parti atau AKP, sejak dari sesi pemerintahan Abdullah Gul sebagai Perdana Menteri (walaupun hanya sekejap) sehinggalah kepada pemerintahan terkini Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan parti pimpinannya (yang mendapat lebih daripada 46 peratus sokongan rakyat Turki pada pilihanraya 2007) ini, sudah mula berdikit-dikit meniup roh Islam dalam urusan-urusan kenegaraan. Semua ini dibuat secara halus. Recep Tayyip Erdogan sendiri (bekas Datuk Bandar Istanbul ini pernah dipenjarakan dan dilarang daripada berpolitik untuk beberapa ketika kerana imannya) pernah menegaskan bahawa partinya bukanlah bergerak di atas garis-garis agama. Itulah harga yang patut dibayar untuk pemimpin lulusan sekolah agama sepertinya kerana sedar akan perlembagaan sekular negara. Mereka sememangnya tidak boleh dilihat daripada melakukan perkara-perkara yang boleh didefinisikan sebagai ‘aktiviti-aktiviti anti sekular’. Tetapi lain pula dengan kita di sini yang memilih untuk memandang sepi (tanpa berbuat apa-apa) mereka-mereka (selalunya ahli-ahli politik dan juga pemimpin-pemimpin persatuan bukan kerajaan) yang melakukan aktiviti-aktiviti bersifat anti Islam! Berapa ramai ahli politik bukan muslim Malaysia yang telah mengkritik agama ini secara terbuka walaupun mereka tidak mempunyai hak langsung untuk bercakap tentang agama ini sepertimana kita muslimin yang menyerahkan bulat-bulat urusan beragama mereka.

Hari demi hari Islam dicabar dengan perbuatan ataupun kenyataan yang dibuat mereka, yang tentunya lahir daripada kejahilan dan perasaan buruk sangka mereka terhadap Islam dan umatnya. Tetapi malangnya, parti Islam ataupun parti-parti yang mempunyai orang Islam sebagai pendukungnya memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Sungguh malang nasib muslim di Malaysia dewasa ini. Jika Turki boleh menghukum parti-parti politik yang mengganggu gugat character sekularnya, kenapa pula kita di sini tidak boleh berbuat sedemikian kepada parti-parti politik yang mengganggu gugat character Islam Malaysia?

Dan apabila suara-suara ‘sederhana’ masih mahu menyuruh kita memandang ke Turki untuk dijadikan contoh dalam kita bernegara, tentulah kita mahu bertanyakan mereka perihal wanita-wanita yang telah kehilangan kerja atau yang tidak dinaikkan pangkat hanya kerana mereka memilih untuk bertudung? Dan bagaimanakah pula dengan mereka-mereka yang tidak mendapat tempat langsung di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta hanya kerana mereka bertudung? Sudahkah kita lupa kepada Merve Kavakci yang dilarang daripada mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hanya kerana tudung dikepalanya? Dan apabila Makhamah Hak Asasi Eropah memutuskan perbuatan melarang mereka-mereka yang bertudung daripada memasuki bangunan-bangunan kerajaan (dan juga di sesetengah institusi swasta) sebagai legitimate, adakah kita berpendapat hak Merve Kavakci sebagai individu (dan sebagai warganegara Turki) dan juga hak mereka-mereka (rakyat-rakyat Turki yang lain) yang memilih untuk mengundinya sebagai tidak legitimate? Pokoknya di bawah panji-panji sekular (tidak seperti Islam di Malaysia) Turki, kebebasan beragama seperti disekat. Jika seseorang itu boleh memilih untuk tidak bertudung dan dibenarkan untuk belajar dan seterusnya bekerja, mengapa pula seseorang yang memilih untuk bertudung dilayan sebaliknya? Kenapa pula negara sekular Turki dilabelkan sebagai mempunyai neutrality terhadap agama apabila muslimah yang mahu melaksanakan tuntutan agama sering ditindas?

Kita mungkin sedikit gembira apabila Amerika Syarikat tidak pernah menghalang muslimahnya daripada memilih untuk berhijab ataupun tidak, dan pada masa yang sama masih lagi bebas untuk bekerja dalam keadaan sedemikian. Secara rasminya Amerika Syarikat adalah negara sekular. Namun the First Amendment dalam Perlembagaan U.S menjamin kebebasan beragama. Dan walaupun hampir 80 peratus rakyatnya kristian, terdapat lebih kurang 10 juta muslim di Amerika. Amerika Syarikat lebih sesuai dipanggail negara yang mengambil pendekatan neutral dalam beragama. Mereka tidak seperti Perancis yang adakalanya lebih menyanjungi ahli-ahli falsafahnya sehinggakan bersifat anti agama. Dan pasca 11 September 2001, Islam pesat membangun di Amerika Syarikat. Semenjak serangan pengganas itu yang mana rakyatnya rata-rata (dengan propaganda media-media barat terutamanya) menuding jari mereka kepada muslim dan Islam! Islam hebat diperkatakan di dada-dada akhbar perdana. Wanita bertudung yang kehilangan suami semasa 911 menjadi santapan mata wanita-wanita Amerika Syarikat yang menonton rancangan bual bicara popular Oprah Winfrey. Muslimin dan muslimat yang sebelum ini mengamalkan Islam secara senyap dan senyap-senyap harus berhadapan dengan pertanyaan dan adakalanya cemuhan rakan senegara bukan Islam mereka. Namun inilah sebenarnya yang menjadi pendorong kepada kepesatan Islam di Amerika Syarikat kini. Melihat kepada itu semacam ada sisi admirable yang patut kita contohi. Tetapi apakah sudah cukup dengan hanya sisi itu.

Ketika kita sangat kritikal dengan negara kita dalam semua hal sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti rakyatnya beragama Islam dan Islam sebagai agama rasminya, kita tidak patut melupakan kisah-kisah penindasan dan ketidakadilan yang dilalui saudara-saudara kita di sana. Adakah dengan melantik Presiden kulit hitam pertama, Amerika Syarikat sudah menjadi jauh lebih putih daripada kita? Pernahkah kita terfikir tentang kemungkinan Barack Obama tidak dipilih menjadi calon Presiden (jauh sekali Presiden) jika dia beragama Islam? Apakah kita lupa akan polemik demi polemik di media massa Amerika hanya kerana risaukan kiblat kepercayaan agama calon Demokrat itu? Apa buruk sangatkah Islam sehinggakan muslim tidak layak menjadi pemimpin negara kuasa besar dunia itu?

Dalam kita berbangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai ekonomi terbesar dunia itu, adakah kita memilih untuk lupa Amerika juga mempunyai kadar keganasan jenayah dan kes-kes bunuh yang sangat tinggi? Jauh lebih tinggi daripada negara-negara maju lain. Adakah dengan mencadangkan negara sesekular Amerika Syarikat adakah kita telah bersedia untuk perkahwinan sama jenis yang dipraktikkan di sana? Negara itu juga sangat terkenal dengan hedonis industri Porno dan Hollywood, undang-undang negara membolehkan semua itu bercambah di sana, adakah kita sudah bersedia? Adakah kita tahu lebih daripada 16 peratus daripada rakyatnya (mengikut banci yang diadakan pada tahun 2007) merupakan mereka yang berfahaman ateis atau tidak langsung mempunyai agama. Dan dikalangan mereka-mereka yang beragama, ada pula yang memilih untuk mengunjungi denominasi-denominasi sesat seperti Church of Satan! Adakah masyarakat kita sudah bersedia untuk menghadapi semua ini? Jika kita mahu menjadi sesekular Turki dan Amerika, mampukah kita menghalang segala sesuatu kepincangan yang berlaku di sana yang datang bersama-sama sekular, ketika kita dewasa ini tidak lagi mampu menghalang segala sesuatu yang bersifat anti perlembagaan atau Islam? Adakah kita telah bersedia untuk melihat anak-anak kita dimurtadkan seperti yang banyak melanda saudara seagama kita di Malawi?

Membandingkan nilai-nilai yang baik daripada Turki dan Amerika Syarikat (malah negara mana sekalipun) untuk menambah baik kekurangan yang ada di Malaysia adalah satu langkah yang bijak. Banyak nilai-nilai admirable yang datang dari sana, seperti kesungguhan dalam mengejar ilmu dan mengembangkan teknologi umpamanya. Ini sangat Islamik. Budaya menuntut ilmu memang dituntut agama kita. Ini adalah faktor utama yang membuatkan empayar Islam berkembang 1400 tahun dulu. Tetapi ini tidak bermakna Malaysia dengan acuan kenegaraan yang tersendiri, patut lari daripada professing Islam sebagai agama rasminya. Ia tidak perlu murtad! Acuannya sudah elok. Negara kita tidak seperti Turki, Amerika Syarikat mahupun Indonesia (republik sekular dengan populasi muslim yang terbesar di dunia) yang tidak beragama. Undang-undang tertingginya mengangkat Islam sebagai agama rasminya. Ini sudah jelas. Dan dalam keadaan-keadaan tertentu undang-undang syariah terpakai di sini. Itu juga tidak perlu kita buang, malah perlu diberikan lebih penjelasan (dan penekanan) tentang mekanisme pelaksanaannya supaya tidak timbul salah faham. Suara-suara ‘sederhana’ perlu ada mentaliti ini dan tidak perlu berbuat sebaliknya.

Kita gembira apabila negara sesekular Amerika Syarikat boleh menjadi tempat muslimin meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan aman dan damai. Perkembangan pesat Islam dengan populasi muslim meningkat, memang sangat membanggakan. Dan kita sentiasa mendoakan yang terbaik kepada muslim di sana. Tetapi itu tidak bermakna mereka lebih baik daripada kita dalam semua hal. Itu juga tidak patut dijadikan alasan untuk kita membuang terus Islam daripada kamus rasmi negara kita. Dunia kita pelbagai (kenapalah agaknya mereka yang selalu berdakwah untuk pluralisme tidak boleh nampak akan hal ini?), ada negara komunis dan sebaliknya. Ada juga negara sekular dan sebaliknya. Dan dikalangan negara-negara yang ‘beragama’, negara kita dengan latar belakang sejarah dan penduduknya telah memilih Islam, ada negara-negara lain memilih Kristian dan Hindu.

Tidak keterlaluan juga jika disimpulkan bahawa kemajuan Al Andalus berbanding dengan negara-negara Eropah lain semasa zaman emasnya adalah kerana jiwa Islamnya. Al Andalus (seperti gelaran yang diberikan kepadanya) ditawan ketika masyarkat dan bandarnya berada dalam keadaan kelam-kabut. Dan daripada kekalutan itulah negara itu bangkit dengan Nur Islam. Dengan suntikan ilmu daripada dunia Islam, masyarakat Al Andalus mengalami kepesatan ekonomi sehinggakan membawa kepada kekayaan baru untuk rakyatnya. Istana-istana besar seperti Madina Al Zahra di bina oleh khalifah Abdul Rahman III ketika Raja England masih tinggal dalam dewan-dewan besar buatan kayu. Puisi dan muzik arab yang menjadi siulan masyarakatnya banyak memberi inspirasi kepada penduduk eropah yang lain.

Begitu juga dengan Toledo, bandar yang diasaskan muslim sepanyol ketika itu amat terkenal sebagai pusat ilmu eropah, sehinggakan seluruh cendiakawan dan mereka yang dahagakan ilmu berhijrah ke sana. Cordoba pula telah jauh maju meninggalkan bandar-bandar lain di eropah dengan 70 perpustakaan dan lebih 300 rumah mandi awam. Islam sangat mengutamakan kebersihan. Cantiknya Cordoba ketika itu sehinggakan mereka yang pernah ke sana mengelarnya sebagai ‘perhiasan dunia’! Dan mereka-mereka yang ‘sederhana’ dikalangan kita juga tidak harus lupa bahawa selain daripada bandaraya Madrid yang telah diasaskan oleh orang-orang Islam sepanyol, mereka juga telah membina Al Hambra yang menjadi lambang kepada keagungan kesenian dan intelektual Islam.

Persoalannya kenapa sekarang ada diantara kita seperti mahu berpaling daripada ini semua? Apakah kita lupa, Kesultanan Melaka yang super makmur dan sangat masyhur di seluruh pelusuk dunia (sehingga membawa portugis ke pantai-pantai putih kita) juga lahir daripada keberkatan sistem agama tauhid yang sama? Dan kenapa pula setelah kita jauh lebih makmur daripada Indonesia dengan acuan Islam yang sedia ada, kita mula membicarakan tentang konsep negara sekular seolah-olah Islam itu akan membawa kepada kemunduran, sama seperti apa yang hebat diperkatakan di Barat? Sejak bila pula kiblat kita sudah lari jauh meninggalkan Mekah? Hijrah apakah pula yang sedang kita kempenkan?

Cyst-ters In Islam-membarah dalam masyarakat muslim

Friday, August 7, 2009
Tidak berapa lama setelah orang-orang muslim menakluk Mesir sekitar kurun ke-20, sekumpulan orang kristian koptik, menemui Gabenor 'Amr bin al A'as, Radi-Allahu anhu, dengan satu hal yang sangat penting. Aktiviti ekonomi di Mesir pada ketika itu sangat bergantung kepada Sungai Nil. Mengikut kepercayaan sesetengah penduduk tempatan, sungai tersebut menagih korban manusia setiap tahun. Khabarnya pada setiap malam ke-12 pada bulan Jun, seoarng anak dara sunti yang dipakaikan seperti seorang pengantin perempuan, mesti dihumban ke dalam sungai tersebut. Jika tidak, kata mereka, Sungai Nil akan berhenti mengalir dan menjadi kering.

Sedar akan agama Islam yang menegah segala bentuk amalan khurafat dan jahiliah, gabenor tersebut dengan panats menegaskan: amalan korban manusia ini patut dihentikan serta-merta. Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Dan tahun berganti tahun. Air Sungai Nil menjadi semakin cetek. Walau bagaimanapun pemerintah muslim tetap berkeras melarang sebarang bentuk korban manusia dilakukan. Kehidupan ramai penduduk yang bergantung hidup dengan sungai tersebut menjadi semakin sukar. Ada yang tidak tahan lagi dan mengambil keputusan untuk berhijrah.

Dibelenggu dilema, 'Amr bin al A'as mengutuskan sepucuk surat kepada Khalifah Sayyidina Umar, Radi-Allahu anhu, meminta nasihatnya. 'Kamu telah melakukan perkara yang betul, balas Sayyidina Umar. 'Tertegaknya Islam adalah untuk memusnahkan segala bentuk amalan jahiliah dan khurafat. Bersama-sama surat ini ada sekeping nota. Lemparkan nota tersebut ke dalam sungai.

Nota tersebut merupakan sekeping surat kepada Sungai Nil. Ianya berbunyi: Daripada hamba Allah, Amirul Mukminun 'Umar kepada Sungai Nil, Mesir. Jikalau kau mengalir sesuka hati kau, maka kau bolehlah berhenti mengalir. Tetapi jika kau mengalir dengan izin Allah, Tuhan yang Satu, Pencipta sekelian alam, maka kami sebagai hamba, berdoa kepada-Nya untuk memerintahkan supaya kau mengalir semula.Maka, tulis ahli sejarah, Ibn Taghri Berdi, setelah Gabenor 'Amr bin al A'as, melemparkan surat itu ke dalam sungai, pada keesokkan paginya, Sungai Nil mula mengalir deras seperti biasa. (An Najum un zahira fi akbar muluk Misr wal Qahira - Vol. 1,p. 35) Sesungguhnya Islam telah membebaskan wanita-wanita Mesir daripada belenggu amalan paganisme yang dahsyat.

Korban manusia sememangnya lazim dikalangan masyarakat yang mengamalkan paganisme. Kebanyakkan amalan korban ini membabitkan golongan gadis dan wanita. Ada dikalangan mereka yang dihumban ke dalam sungai atau tasik sebagai habuan, ditanam hidup-hidup pada asas bangunan dan jambatan untuk 'memperkuatkan' binaan tersebut; atau dipersembahkan kepada dewa-dewa sebagai korban untuk melindungi sesuatu masyarakat.

Seorang pengembara muslim yang terkenal Ibn Battuta, pernah meriwayatkan tentang suatu amalan paganisme di Kepulauan Maldives. Pada setiap bulan, seorang anak dara sunti yang dipakaikan cantik-cantik akan ditinggalkan semalaman di sebuah kuil di tepi pantai sebagai habuan kepada seekor jin. Pada keesokkan paginya, gadis tersebut akan ditemui mati dan diperkosa.

Seorang pelawat muslim Abul Barkat Berberi mendapat tahu tentang hal ini daripada tuan rumahnya, seorang wanita tua yang anak gadisnya akan menerima nasib yang sama. Abul Barkat, seorang hafiz, menawarkan untuk menggantikan tempat gadis tersebut. lalu pada satu malam duduklan dia dalam kuil tersebut, dan disepanjang malam itu dia asyik mengaji Al-Quran. Pada keesokkan paginya beliau didapati masih hidup dan langsung tidak diapa-apakan. Berita tentang kejayaan Abul Berkat tersebar ke seluruh pelusuk pulau dan masyarakat pagan di sana mula menerima Islam. Dan dengan itu wanita-wanita di Maldives juga telah diselamatkan daripada kezaliman paganisme.

Kepercayaan kepada korban manusia juga sangat menebal melalui konsep penebusan dosa. Sesetengah masyarakat mempercayai Jesus, Alahis-Salam, telah mengorbankan diri baginda di atas salib semata-mata untuk menebus semua dosa-dosa manusia. Golongan paderi juga seperti mahu menghalalkan amalan paganisme dengan cara yang lebih halus. Mereka menggantikan amalan korban manusia di Saturnalia dengan amalan memberi hadiah Krismas

Semasa kepercayaan Kristian diperkenalkan di Britain, pesta pagan orang-orang Druids, telah diganti-namakan sebagai Halloween.Orang-orang Druids kuno percaya, ahli sihir, hantu dan roh-roh jahat merayau-rayau di bumi pada malam 13 Oktober, yakni hari terakhir sebelum menjelang tahun baru, mengikut kalendar Celtic. Unggun-unggun api akan dinyalakan untuk menghalau roh-roh jahat. Mereka kemudiaannya akan berjalan dari rumah ke rumah sambil meminta diberikan 'habuan'. 'Habuan' ini bukanlah gula-gula tetapi mangsa-anak dara sunti-untuk dijadikan korban. Jika menerima 'habuan' yang dikehendaki, mereka akan meninggalkan tanglong jack-o (yang diperbuat daripada labu) di rumah tersebut sebagai tanda telah menerima korban daripada rumah tersebut.

Ketika ini, simbol-simbol kepada amalan jahiliah masih lagi wujud dan hidup segar dalam kehidupan masyarakat barat. Ianya telah diberi nafas baru supaya lebih menarik. Walaupun amalan tidak berperikemanusiaan sudah tidak diamalkan lagi, namun idenya masih lagi diterima masyarakat umum.Apakah sebabnya seorang anak dara sunti perlu dihumban ke dalam Sungai Nil? Dan kenapa pula seorang wanita mesti menjadi mangsa korban manusia semata-mata untuk memakmurkan ekonomi masyarakatnya? Wanita-wanita dipaksa keluar rumah untuk bekerja di pejabat dan kilang-kilang. Revolusi Industri nampaknya hanya berjaya menghidupkan semula amalan masyarakat kuno.

Dengan meletak wanita sebagai pelaris kepada sesuatu produk, 'Revolusi Pemasaran' hanya menghidupkan nilai-nilai yang sama. Wanita harus mengorbankan diri mereka, hidup mereka, maruah dan keselamatan diri semata-mata untuk kemakmuran ekonomi masyarakatnya. 'Dewa kemajuan dan kemakmuran' mahu pengorbanan mereka dan mereka harus akur. Kononnya wanita perlu bekerja keras untuk kesejahteraan keluarganya.Hari ini wanita sudah tidak lagi duduk di rumah. Mereka telah 'dipisahkan' daripada keluarga mereka; dikasari dan dipaksa bekerja untuk sesuap nasi. Adakah ini erti sebuah kebebasan yang sering dilaung-laungkan? Inikah pengorbanan yang perlu mereka bayar?!

Apa yang dapat kita pelajari daripada episod Sungai Nil tersebut? Mungkin ianya akan mengingatkan kita, yakni apabila manusia memilih untuk menolak tanda-tanda kekuasaan dan perintah Allah, maka jalan kemusnahan yang dipilih mereka dipermudahkan kepada mereka. 'Mereka yang menolak tanda-tanda kekuasaan Kami, maka Kami akan menemukan jalan kemusnahan tanpa mereka sedari' (Al-A'raf, 7:182).

Peristiwa Sungai Nil yang berhenti mengalir adalah satu ujian kepada semua manusia. Adakah mereka akan berpegang teguh kepada larangan mengamalkan sebarang bentuk pemujaan atau adakah mereka akan mengalah apabila berada dalam kesusahan? Ujian kepada gabenor tersebut juga berat. Kesejahteraan dan kemakmuran rakyat adalah tanggungjawabnya. Surat daripada Khalifah Sayyidina Umar kepada Sungai Nil adalah satu manifestasi iman yang sangat hebat. Ia menunjukkan tahap keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Ia juga menunjukkan tahap kebencian kepada amalan khurafat yang menyukutukan Allah. Hanya dengan tahap keimanan setinggi itu yang dapat membebaskan manusia daripada belenggu zalim paganisme.

Dan sekarang ini, kita masih lagi diuji.

Diterjemah daripada artikel bertajuk 'Fair ladies for the altar' oleh Encik Khalid Baig daripada majalah Impact International keluaran Februari 2000

Pemikiran 'Pork Free' Dan Implikasi

Sunday, June 7, 2009
Terminologi 'Pork Free' mula digunakan ketika melabel restoran-restoran yang tidak berstatus halal dan pada masa yang sama tidak pula menyediakan hidangan 'pork' (babi). Babi sememangnya haram dimakan umat muslim. Jadi pada tanggapan sesetengah orang (yang sengaja tidak pernah mahu faham) bahawa jika mereka tidak menghidangkan juadah babi, maka sudah tentulah mereka yang tidak makan babi (umat Islam terutamanya), boleh mengunjungi kedai makan mereka. Pandangan ini bukan saja salah malah berniat jahat. Dan sememangnya halal atau tidak sesebuah restoran itu melangkau isu samada babi dihidangkan atau tidak. Ianya lebih daripada itu sebenarnya. Mungkin pihak Jakim boleh memberi panduan dan tunjuk ajar kepada kita semua.

Tidak seperti panduan halal yang satu itu, halal tidak ada kategori. Halal atau haram dimakan sesuatu hidangan itu telah ditentukan oleh syariat Islam. Tidak ada babi, tetapi ada dihidangkan arak, restoran itu tidak halal. Tidak ada babi tapi juadah ayam dan dagingnya tidak disembelih mengikut hukum syarak maka rumah makan itu tidak berstatus halal. Tidak dihidangkan babi tapi menghidangkan makanan yang boleh membahayakan kesihatan dan nyawa, contohnya, maka kedai makan itu tidak halal. Definisi halal dan haram sangat luas sebenarnya. Ianya tidak hanya tertakluk kepada isu samada babi disediakan atau tidak disesebuah kedai makan itu. Faktor-faktor lain juga diambil kira. Kebersihan semasa menyediakan makanan juga dititik-beratkan.

Namun realitinya kini ramai orang tidak segan silu makan di restoran-restoran sedemikian atas alasan ianya 'pork free'! Buka saja majalah berbahasa Inggeris (dan sudah mula menular ke beberapa majalah berbahasa melayu), ada saja selebriti muslim yang memuji restoran-restoran yang belum tentu status halalnya. Dan banyak juga reviu makanan atau restoran dalam suratkhabar berbahasa Inggeris lazimnya, melabelkan restoran-restoran tidak halal sebagai 'pork free' lantas mengaburkan pandangan sesetengah muslim naif dan yang goyah imannya.
Dan kesannya sudah dapat kita lihat sekarang. Pemikiran-pemikiran dangkal sudah mula menular berleluasa dalam masyarakat kita. Dewasa ini, cara kita (terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar yang sering pula mengunjungi restoran-restoran pork free yang bercambah bagai cendawan selepas hujan) berfikir dan bercakap sudah jauh menyimpang dari akar Islami. Dan kerana itulah agaknya umat Islam disarankan menjaga makanan yang masuk kedalam tubuhnya. Bahannya mesti halal. Sumbernya juga mestilah halal. Mengambil jalan mudah dan mengikut gelodak nafsu dan membelakangkan syariat agama kita tentang adab makan dan pemakanan.

Lalu muncullah kumpulan-kumpulan benak, anti syariah Islam yang teridiri daripada golongan urban muslim yang berpemikiran 'pork free' yang sememangnya suka lari daripada syariat Islam. Bagi mereka logik akal manusia boleh mengatasi syariat Allah subhanawataala. Akal mereka (sebebas gaya hidup mereka) bebas berfikir. Logik 'pork free' sering diguna-pakai. Babi itu haram. Jadi jika sesebuah restoran itu tidak menghidangkan babi maka ianya tentunya halal. Mereka tidak mahu ambil pusing samada ayam dan dagingnya itu disembelih mengikut hukum syarak atau tidak. Mereka tidak mahu mempersoalkan botol-botol arak yang tersusun rapi dibelakang kaunter. Tidak pula mahu bertanya tentang bahan-bahan perencah yang digunakan dalam sesuatu 'cuisine' itu. Mereka tidak peduli jika perkakas masak sudah bercampur-baur dengan hidangan-hidangan tidak halal!

Sikap ambil mudah ini walaupun pada mulanya nampak ringan namun kini sudah membuatkan kita semua mengambil mudah dengan kebanyakkan isu-isu pokok yang melanda Islam dan umatnya. Rata-rata ada juga diantara kita secara tidak sedar dan tidak sengaja (tidak seperti aktivis anti Islam) terguna pakai logik 'pork free' semasa berfikir. Berbuat jahat kepada orang lain itu berdosa, jadi walaupun aku tidak solat lima waktu, aku tidak pernah berbuat jahat dengan orang lain, aku masih ok. Ada juga yang berfikir walaupun Siti tidak bertudung, dia seorang yang baik hati, jadi dia ok. Dan di zaman serba moden ini ketika wanita sudah sama-sama bekerja menyumbang kepada ekonomi negara dan keluarganya, maka adillah jika hak pembahagiaan harta pusaka disama-ratakan di antara lelaki dan wanita. Kita sebenarnya semakin gila!

Kita sudah jadi terlalu sombong dengan pencapaian-pencapaian kita yang tidak seberapa. Kita sudah lupa (mungkin sebab banyak sangat makan makanan yang diragui status halalnya?!), apa sebabnya kita berada di muka bumi ini. Hari ini Islam sudah mula dihina umatnya sendiri. Musuh-musuh Islam menyerang agama ini dari dalam. Semuanya tanpa kita sedari dalam kita mengejar kemodenan yang kononnya akan memudahkan kita. Tetapi diatas nama kemodenan itu, kita ambil mudah semuanya! Bermula dengan bab makan dan sehinggalah kini ianya sudah menular kepada bab akidah. Kalau Fatimah sudah tidak mahu kepada Islam, sebagai warga dunia, di bawah panji-panji PBB, dia ada hak mutlak untuk meninggalkan Islam. Lalu ada golongan dikalangan kita yang akan mempertahankan mungkar atas dasar 'personal choice'. Biarlah kalau jiran kita sumbang mahram sekalipun, dia tidak kacau hidup kita. Masyarakat muslim bagaimanakah yang akan bercambah daripada pemikiran sedemikian? Bagaimana struktur masyarakat muslim yang akan terbentuk?

Syariah diadakan sebagai pedoman dan petunjuk kita hamba Allah subhanawataala menuju siratul mustaqim. Porak perandanya masyarakat kita dewasa ini disebabkan kita semua sudah jauh menyimpang daripada syariat. Kita masih boleh berpatah balik. Dunia belum kiamat. Pintu taubat masih terbuka luas. Dan ianya boleh dimulakan dengan makanan yang kita ambil. Sememangnya kita adalah apa yang kita makan. Dan hari ini. Ketika ini kita harus bertanya diri sendiri, MasyaAllah apa yang telah aku makan?

Mensekularkan Isu Palestin

Saturday, February 7, 2009
'Allah tidak ada kena mengena dengan isu ini!' jerit seorang bahlol hedonis asal Kuala Pilah yang berlagak 'european', setelah pulang daripada hidup dalam buangan di sana. Laungan ini mendapat tepukan daripada hadirin yang sememangnya mempunyai masalah dengan ketegasan Islam dan kepatuhan Muslim, dalam beragama. Walaupun ketokohan lelaki ini hanya berbekas dengan sekumpulan budak-budak 'liberalis wannabe' yang bermimpi basahkan kehidupan hedonis 'saibaba' mereka, tetapi trend ini semakin mendapat tempat di Malaysia.

Sesungguhnya jeritannya itu adalah penghinaan besar kepada umat Islam dan kita semua (seperti saya semasa mendengar deklarasi bodohnya itu), patut berasa terhina dan marah! Peristiwa yang sama juga berlaku di satu perhimpunan badan-badan bukan kerajaan yang mengelarkan diri mereka sebagai 'sempurna' (alih bahasa daripada bahasa Inggeris) apabila sanggup menghina seorang professor muslim semata-mata untuk menghormati kebodohan seorang paderi kristian yang berlagak pandai bercakap pasal isu Palestin dengan menutup ucapannya dengan 'rakyat Israel (negara haram penjajah yahudi eropah) dan rakyat Palestin berhak untuk hidup dalam keadaan aman' dan apabila ditegur secara terbuka (kerana kenyataan dungunya itu juga dilakukan secara terbuka), dia melenting dan proksinya mula melobi supaya ceramah professor itu, yang bercakap tentang isu Hamas-penganas atau pejuang kebebasan-diberhentikan serta-merta, walaupun kenyataan maaf dibuat secara terbuka, di atas pentas oleh professor muslim tadi. Isu yang sama juga berlaku kepada Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki apabila beliau mempertahankan hak Hamas untuk mempertahankan tanahair mereka di Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini!

Sememangnya dunia sebulat suara memusuhi muslim dan agama mereka!
Gerakan yang telah lama mendapat tempat di dunia barat kini mula bertapak di negara kita yang mengiktiraf agama Allah subhanawataala sebagai agama rasminya (sepatutnya apa saja atau sesiapa saja yang menghina Allah subhanawataala patut didakwa seperti yang pernah dilakukan oleh Britain kepada mereka yang menghina agama rasminya-Kristian), kini mula bergerak aggresif dikalangan rakyat Malaysia dungu yang mahu menidakkan ke-Esa-an Allah subhanawataala, Maha Pencipta seluruh alam dan segala isi di dalamnya.

Sememangnya isu Palestin adalah isu penjajahan haram dan penindasan zalim, masyarakat yahudi-eropah dan kristian-eropah (meminjam daripada Imran N. Hosein) terhadap bangsa Palestin (kita juga berdosa sebenarnya kerana 'membiarkan' kezaliman itu berlaku sambil kita dengan selesa menontonnya di depan kaca TV!) yang kebanyakkannya beragama Islam, bangsa yang berhak ke atas tanah Palestin. Israel hanyalah projek gila dan tidak berperikemanusiaan Kerajaan British! Itu jelas! Dan mereka-mereka yang ada masalah untuk mengiktiraf legitimasi Islam dan muslim ke atas konflik ini harus mempertahankan hak-hak bangsa Palestin atas dasar itu saja. Itu saja sudah mencukupi sebenarnya. Tidak perlu konvensyen itu dan ini di PBB (apa belumkah kita semua mengenali wajah sebenar PBB ini?!). Tetapi masyarakat bukan muslim (dan segelintir muslim) memilih untuk memadang sepi dan tidak benar-benar mahu memahami isu pokok kepada penjajahan alaf baru ini! Pelik Bin Ajaib dengan seribu satu gagasan untuk melindungi hak-hak asasi individu, hak-hak wanita, orang tua dan kanak-kanak (Unicef tutup mata kepada kanak-kanak yang dipenjarakan oleh rejim Yahudi-dan jangan terkejut jika ada yang ditangkap hanya kerana melontar batu!), kita mampu membiarkan penderitaan rakyat Palestin selama lebih 60 puluh tahun lamanya! Lebih membingungkan ada pula orang-orang bodoh, termasuk ahli-ahli politik berpengaruh dan tokoh-tokoh wartawan bercakap tentang hak penjajah Israel untuk menyerang dan membunuh bangsa Palestin yang dijajah di atas tiket mempertahankan diri dan harta benda! Bagaimana pula dengan nyawa dan harta benda rakyat Palestin? Dan mereka-mereka yang berjuang untuk membebaskan diri mereka daripada terus dijajah, dilabel pengganas dan 'Islamists'.

Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan orang-orang beragama yang mentauhidkan agama Allah subhanawataala dengan orang-orang yang telah melupakan Maha Pencipta mereka. Ini perlu jelas. Dan ini juga perlu diperjelaskan! Tetapi ada pula di antara kita yang mahu menjadi popular dikalangan mereka yang sememangnya anti Islam dan anti muslim, dan mahu membuang terus Tuhan daripada hidup seharian kita manusia. Tetapi perlu juga diperjelaskan bahawa, apa yang berlaku bukanlah suatu kebetulan. Ia sememangnya telah ditakdirkan di Loh Mahfuz. Ianya juga telah diceritakan dengan jelas lagi nyata dalam Al-Quranul Karim dan juga diperingatkan melalui hadis-hadis Nabi Muhammad sallahualiwasalam, 1400 tahun sebelum ianya berlaku. Kita yang jahil dan ada pula di antara kita yang terlupa.

Isu Palestin ini ada penutupnya. Kita, muslimin yang membaca, (seperti yang disarankan Allah subhanawataala ketika diperturunkan surah Al-Alaq kepada Nabi Muhammad salallahualaiwasalam) tahu akan pengakhiran permasalahan ini. Dan mereka yang mensekularkan isu Palestin, sama ada dengan topeng 'humanis' atau 'warga antarabangsa' akan menemui kegagalan yang amat memalukan. InsyaAllah!

Protestan Muslim

Monday, February 2, 2009
Lima ratus tahun setelah Martin Luther menggerakkan fahaman Protestanisme sebagai alternatif kepada Katolik-isme (dengan bantuan seorang raja yang mahu berpoligami-tetapi tidak pula mahu memandang kepada Islam sebagai agama yang mengiktiraf tabie lelaki mahu beristeri lebih daripada satu!), dia tentunya tidak terfikir bahawa gerakkannya itu akan mendapat 'pengikut' di Malaysia. Jangan tersilap kita bukan bercakap pasal orang-orang kristian berfahaman protestan yang bebas mengamalkan anutan mereka di sini, tetapi lebih merujuk kepada segelintir (tetapi suara mereka kuat, kerana mendapat sokongan dan dukungan, musuh-musuh Islam, dari dalam dan luar negara) umat Islam yang saya labelkan sebagai Protestan Muslim sesuai dengan sikap mereka yang suka memprotes apa saja, daripada sesiapa saja sama ada pihak berkuasa, tokoh-tokoh ulama ataupun persatuan-persatuan Islam yang mahu menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan dan panduan (Islam1st) dalam menjalani kehidupan seharian sebagai muslim.

Sememangnya amatlah sukar untuk kita mengenali mereka kerana dari segi zahirnya mereka kelihatan sama seperti kita semua. Tetapi Allah subhanawataala itu Maha Kaya, adakalanya mereka ini akan membuka topeng diwajah mereka dan menunjukkan juga wajah sebenar mereka.

Seperti baru-baru ini ketika kerajaan memutuskan untuk mewajibkan semua pasangan muslim yang mahu berumahtangga untuk menjalani ujian HIV (untuk melindungi kedua-dua pihak) sebelum bernikah-mereka memprotes! Ketika fatwa melarang umat Islam daripada melakukan senaman yoga (senaman lain banyak lagi sebenarnya!)-mereka memprotes! Malah ketika umat Islam memprotes apabila Islam dan umatnya dihina dan cuba diaibkan di forum-forum yang bertopengkan dialog antara agama-mereka memprotes, marah sehingga sanggup menulis artikel panjang (dalam suratkhabar dan majalah berbahasa Inggeris selalunya) menghina mereka yang tidak sanggup agama suci ini dihina sewenang-wenangnya.

Kita sebenarnya tidak ada masalah apabila mereka memprotes, tetapi apa yang mereka proteskan itu yang menjadi persoalan dan kemusykilan. Sebagai muslim mereka sepatutnya lebih faham kenapa Islam melarang dan menegah segala sesuatu. Di akhir zaman ini, semua umat tidak akan terlepas dari dosa, tiada yang maksum. Tetapi lain pula jadinya jika kita menghalalkan yang haram dan mendabik dada, berbangga pula dengannya!

Assalamualaikum

Thursday, January 1, 2009

ِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (١) اللَّهُ الصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (٤

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

(1) "Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa;
(2) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (3) Ia tiada beranak, dan Ia tidak pula diperanakkan; (4) Dan tiada sesiapapun yang serupa denganNya".

Surah Al-Ikhlas

Kebelakangan ini sudah muncul gerakan mahu melabel muslim sebagai 'Islamist'. Bermula dari barat dan mulanya digunakan untuk melabel puak muslim radikal (apa itu radikal?), ianya kini digunakan secara meluas terhadap muslim. Gerakan ini merupakan satu lagi usaha, musuh-musuh Islam untuk menghina agama suci ini dan lebih 2 billion umatnya di seluruh dunia. Label anti Islam ini, kini mula digunakan secara meluas oleh orang kafir dan juga segelintir kecil orang munafik. Sebagai muslim kita mempunyai tanggungjawab untuk menidakkan propaganda jahat untuk menghina dan menambahkan lagi kebencian orang bukan Islam kepada kita. Sekarang ini jika anda memilih untuk menutup aurat-anda 'Islamist'! Jika anda memilih untuk mengamalkan sunnah nabi-anda Islamist! Jika anda mahu menegakkan syariat Allah subhanawataala-anda Islamist! Malah dengan menulis blog ini saja, saya tentunya dilabel 'Islamist'!

Apa yang boleh kita lakukan?
Banyak sebenarnya. Dengan kecerdikan akal yang dikurniakan Allah subhanawataala kepada kita muslimin, saya percaya saudara dan saudari sekelian mampu melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang akan saya kerjakan. Namun jika tidak, saya mahu cadangkan sesuatu.

Islam1st

Kita tukarkan sesuatu yang negatif dan menghina seperti 'Islamist' kepada sesuatu yang sangat selari dengan fitrah kita manusia ciptaan Allah, Islam1st! Sebagai muslim, apa saja yang kita lakukan atau akan lakukan haruslah berpandukan kepada ajaran Islam. Islam harus diutamakan. Islam harus mendahului segala pertimbangan dan perlakuan. Itulah maksud Islam1st. Inilah gerakan yang cuba saya bawakan kepada kita semua, supaya musuh-musuh kita menjadi tenggelam punca apabila melihat muslim pelbagai latar belakang, tempat dan masa, memilih dengan berani untuk melabelkan diri mereka Islam1st (yang adakalanya kelihatan seperti 'Islamist')!

Kita mahu lama-kelamaan mereka berhenti sama sekali daripada memanggil kita semua 'Islamist'. Diharap dengan cara ini label 'Islamist' sudah tidak membawa apa-apa erti negatif lagi. Dengan sebegitu ramai 'Islamist' di seluruh dunia, propaganda jahat mereka akan gagal dan musnah ditengah jalan! INSYAALLAH!

Imran N Hosein

Loading...