Pemikiran 'Pork Free' Dan Implikasi

Sunday, June 7, 2009
Terminologi 'Pork Free' mula digunakan ketika melabel restoran-restoran yang tidak berstatus halal dan pada masa yang sama tidak pula menyediakan hidangan 'pork' (babi). Babi sememangnya haram dimakan umat muslim. Jadi pada tanggapan sesetengah orang (yang sengaja tidak pernah mahu faham) bahawa jika mereka tidak menghidangkan juadah babi, maka sudah tentulah mereka yang tidak makan babi (umat Islam terutamanya), boleh mengunjungi kedai makan mereka. Pandangan ini bukan saja salah malah berniat jahat. Dan sememangnya halal atau tidak sesebuah restoran itu melangkau isu samada babi dihidangkan atau tidak. Ianya lebih daripada itu sebenarnya. Mungkin pihak Jakim boleh memberi panduan dan tunjuk ajar kepada kita semua.

Tidak seperti panduan halal yang satu itu, halal tidak ada kategori. Halal atau haram dimakan sesuatu hidangan itu telah ditentukan oleh syariat Islam. Tidak ada babi, tetapi ada dihidangkan arak, restoran itu tidak halal. Tidak ada babi tapi juadah ayam dan dagingnya tidak disembelih mengikut hukum syarak maka rumah makan itu tidak berstatus halal. Tidak dihidangkan babi tapi menghidangkan makanan yang boleh membahayakan kesihatan dan nyawa, contohnya, maka kedai makan itu tidak halal. Definisi halal dan haram sangat luas sebenarnya. Ianya tidak hanya tertakluk kepada isu samada babi disediakan atau tidak disesebuah kedai makan itu. Faktor-faktor lain juga diambil kira. Kebersihan semasa menyediakan makanan juga dititik-beratkan.

Namun realitinya kini ramai orang tidak segan silu makan di restoran-restoran sedemikian atas alasan ianya 'pork free'! Buka saja majalah berbahasa Inggeris (dan sudah mula menular ke beberapa majalah berbahasa melayu), ada saja selebriti muslim yang memuji restoran-restoran yang belum tentu status halalnya. Dan banyak juga reviu makanan atau restoran dalam suratkhabar berbahasa Inggeris lazimnya, melabelkan restoran-restoran tidak halal sebagai 'pork free' lantas mengaburkan pandangan sesetengah muslim naif dan yang goyah imannya.
Dan kesannya sudah dapat kita lihat sekarang. Pemikiran-pemikiran dangkal sudah mula menular berleluasa dalam masyarakat kita. Dewasa ini, cara kita (terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar yang sering pula mengunjungi restoran-restoran pork free yang bercambah bagai cendawan selepas hujan) berfikir dan bercakap sudah jauh menyimpang dari akar Islami. Dan kerana itulah agaknya umat Islam disarankan menjaga makanan yang masuk kedalam tubuhnya. Bahannya mesti halal. Sumbernya juga mestilah halal. Mengambil jalan mudah dan mengikut gelodak nafsu dan membelakangkan syariat agama kita tentang adab makan dan pemakanan.

Lalu muncullah kumpulan-kumpulan benak, anti syariah Islam yang teridiri daripada golongan urban muslim yang berpemikiran 'pork free' yang sememangnya suka lari daripada syariat Islam. Bagi mereka logik akal manusia boleh mengatasi syariat Allah subhanawataala. Akal mereka (sebebas gaya hidup mereka) bebas berfikir. Logik 'pork free' sering diguna-pakai. Babi itu haram. Jadi jika sesebuah restoran itu tidak menghidangkan babi maka ianya tentunya halal. Mereka tidak mahu ambil pusing samada ayam dan dagingnya itu disembelih mengikut hukum syarak atau tidak. Mereka tidak mahu mempersoalkan botol-botol arak yang tersusun rapi dibelakang kaunter. Tidak pula mahu bertanya tentang bahan-bahan perencah yang digunakan dalam sesuatu 'cuisine' itu. Mereka tidak peduli jika perkakas masak sudah bercampur-baur dengan hidangan-hidangan tidak halal!

Sikap ambil mudah ini walaupun pada mulanya nampak ringan namun kini sudah membuatkan kita semua mengambil mudah dengan kebanyakkan isu-isu pokok yang melanda Islam dan umatnya. Rata-rata ada juga diantara kita secara tidak sedar dan tidak sengaja (tidak seperti aktivis anti Islam) terguna pakai logik 'pork free' semasa berfikir. Berbuat jahat kepada orang lain itu berdosa, jadi walaupun aku tidak solat lima waktu, aku tidak pernah berbuat jahat dengan orang lain, aku masih ok. Ada juga yang berfikir walaupun Siti tidak bertudung, dia seorang yang baik hati, jadi dia ok. Dan di zaman serba moden ini ketika wanita sudah sama-sama bekerja menyumbang kepada ekonomi negara dan keluarganya, maka adillah jika hak pembahagiaan harta pusaka disama-ratakan di antara lelaki dan wanita. Kita sebenarnya semakin gila!

Kita sudah jadi terlalu sombong dengan pencapaian-pencapaian kita yang tidak seberapa. Kita sudah lupa (mungkin sebab banyak sangat makan makanan yang diragui status halalnya?!), apa sebabnya kita berada di muka bumi ini. Hari ini Islam sudah mula dihina umatnya sendiri. Musuh-musuh Islam menyerang agama ini dari dalam. Semuanya tanpa kita sedari dalam kita mengejar kemodenan yang kononnya akan memudahkan kita. Tetapi diatas nama kemodenan itu, kita ambil mudah semuanya! Bermula dengan bab makan dan sehinggalah kini ianya sudah menular kepada bab akidah. Kalau Fatimah sudah tidak mahu kepada Islam, sebagai warga dunia, di bawah panji-panji PBB, dia ada hak mutlak untuk meninggalkan Islam. Lalu ada golongan dikalangan kita yang akan mempertahankan mungkar atas dasar 'personal choice'. Biarlah kalau jiran kita sumbang mahram sekalipun, dia tidak kacau hidup kita. Masyarakat muslim bagaimanakah yang akan bercambah daripada pemikiran sedemikian? Bagaimana struktur masyarakat muslim yang akan terbentuk?

Syariah diadakan sebagai pedoman dan petunjuk kita hamba Allah subhanawataala menuju siratul mustaqim. Porak perandanya masyarakat kita dewasa ini disebabkan kita semua sudah jauh menyimpang daripada syariat. Kita masih boleh berpatah balik. Dunia belum kiamat. Pintu taubat masih terbuka luas. Dan ianya boleh dimulakan dengan makanan yang kita ambil. Sememangnya kita adalah apa yang kita makan. Dan hari ini. Ketika ini kita harus bertanya diri sendiri, MasyaAllah apa yang telah aku makan?

2 comments:

Anonymous said...

tu dia punya la lama nak keluaq satu artikel

Muhammad Ibnu 'Az said...

Assalamu'alaikum bro..
At last ada update.. Alhamdulillah.. Aku sendiri perasan benda ni, tapi tak terlintas dia berlaku 'at large'.. apa yang hg kata tu aku setuju.. Once, member aku, seorang penganut Hindu pernah tanya, "I tengok kopitiam dotdotdot tu ramai Muslim pergi minum.. halal ka? Tapi I tengok patron kat situ tu macam devout Muslim.. I confuse., "
devout Muslim pada pandangan member aku tu, bila yang lelaki pakai kopiah dan yang perempuan pakai tudung pergi makan kat situ. Tapi, aku explain, diorang mungkin kurang faham pasal isu Halal dan bersih ni, mungkin bagi sesetengah orang, bila 'pork free' tu, secara automatik dan pukul rata, semuanya transform menjadi halal..
Malah ada kes melibatkan kawan adik aku yang sanggup makan di kedai non Muslim, pada bulan Ramadhan sebab ponteng puasa, dengan kefahaman Islam yang cetek, sanggup makan nasi dengan mencampurkan kuah yang dimasak berlaukkan babi. tauke kedai tu, walaupun non Muslim, dia tegur mamat tu kenapa ambil kuah babi.. selamba mamat tu jawab, babi tu haram, saya tak ambil pun.. saya cuma makan kuah saja..
Woow!!! aku sendiri terkejut dengar cerita macam tu.. tapi aku percaya kat luar sana.. macam mana yang hang tulih kat sini... memang ramai orang Islam yang hanya tahu, yang haram tu cuma babi.. jadi bila dah terlalu ramai dengan masalah macam ni.. macam mana iman nak lekat masuk? Macam aku selalu sembang dengan hang la.. first thing yang menjadi punca iman teragut keluar, ialah makanan.. kalau makanan tu puncanya dari sumber yang tak halal.. tak mustahil, hati,mulut dan perbuatan sesudah memakan makanan tersebut, akan menggambarkan perlakuan manusia-manusia dengan iman yang hampir tercabut.. jadi untuk atasi masalah tu, macam yang hang kata.. start dengan bagi pengetahuan dan ibu bapa kena mulakan semenjak anak-anak masih kecil.. sorry.. terkomen panjang.. harap hang continue on dengan kerja baik ni.. Wassalam...

Imran N Hosein

Loading...