In Liberal Dosa

Wednesday, October 28, 2009
Kita sebenarnya sedikit kecewa apabila ada dikalangan mereka-mereka yang dilabelkan sebagai suara ‘sederhana’ dunia Islam (terutamanya oleh masyarakat bukan Islam; tempatan dan antarabangsa) sekarang ini memilih untuk bercakap tentang negara sekular sebagai contoh terbaik kepada kita di Malaysia. Pelbagai alasan diberi. Ada yang boleh diterima akal. Ada juga yang tidak dan membawa kegusaran di jiwa muslimin. Sebagai muslimin sudah tentulah kita sedar dan arif bahawa mereka yang beragama sudah tentulah lebih baik daripada mereka yang tidak beragama. Dan sebagai hamba Allah sudah tentulah kita tahu hukum syirik menyekutukan Allah s.w.t.

Oleh itu negara ‘beragama’ seperti Malaysia sudah tentulah pada dasarnya adalah lebih baik daripada negara-negara yang tidak beragama. Ataupun lebih baik daripada negara-negara yang menyekutukan Allah. Ini rasanya amat jelas difahami kita semua. Tetapi kenapa pula ada dikalangan kita dewasa ini tergamak membuat kesimpulan bahawa negara sekular Turki merupakan contoh terbaik kepada kita di Malaysia? Dan apa benarkah Amerika Syarikat, negara kolonialis pasca moden yang melanggar apa saja jenis konvensyen antarabangsa hak asasi manusia dalam kegilaan kempen perangnya (setelah menjadi satu-satunya negara yang berjaya menjadi semakin kaya selepas terlibat dalam Perang Dunia Ke-2) adalah contoh terbaik kepada kita semua?

Trend pemikiran sebegini sangat merisaukan. Kerisauan ini lahir bukan sebab kita tidak yakin dengan agama Islam, macam tempelak sesetengah mereka yang anti Islam dan anti muslim, sengaja mahu mencabar kesabaran dan kesederhanaan kita. Kita tidak risaukan agility agama Allah ini. Sejarah telah berkali-kali membuktikan, Islam boleh lahir dan berkembang dalam suasana-suasana yang sangat hostile. Kalau perlu, ya ia semestinya mampu! Itu tidak menjadi kerisauan. Lihat saja Belanda. Walaupun dengan kehadiran Ayaan Hirsi Ali (dan fitnahnya yang melampau) dan Fitna (filem yang menghina Islam tanpa berselindung), Islam masih mampu berkembang pesat di sana.

Begitu juga dengan saudara seagama kita di Russia (dan negara-negara bekas jajahannya) dan juga China yang mampu mengekalkan akidah dan cara hidup muslim. Itu juga sangat jelas. Tetapi jika suasana sedia ada, seperti di negara kita, sejak azali lagi kondusif untuk kemakmuran Islam (malah lahir juga di atas kemakmuran agama itu sendiri), kenapa perlu kita sendiri menidakkannya? Kenapa perlu kita melalui saat-saat gusar seperti yang dilalui muslim di negara-negara yang hostile dengan Islam? Kenapa pula kita perlu mengambil jalan yang akan menyusahkan kita, bila jalan mudah itu sudah terpampang di depan mata?

Sesungguhnya Allah telah menjadikan negara kita ini sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai agama rasminya, siapa pula kita yang mahu menolaknya? Islam itu agama yang mudah dan syukur kita kepada Allah kerana telah mempermudahkan Islam kepada kita semua. Kenapa dalam kesibukkan manusia mencari agama dan Tuhan (sampaikan ada yang mencipta agama baru-lihat saja Scientology-Tom Cruise), kita memilih untuk berada sedikit jauh dengan agama kita, apabila jalan penyelesaian kepada malaise masyarakat kita mahu diselesaikan dengan pertama-tamanya memisahkan agama daripada kehidupan kita?

Persoalannya, kenapa pemikiran sedemikian rupa boleh lahir daripada susuk-susuk yang kita anggap penting kepada dunia Islam lewat dunia pasca moden? Kenapa pula negara yang beragama seperti kita mahu lari daripada mendekatkan diri kita daripada Piagam Madinah, satu-satunya perlembagaan bertulis pertama dunia?! Kenapakah kita sanggup membuat pusingan 360 darjah dan memilih dua negara sekular ini? Apa hebat sangatkah Turki dan Amerika dalam beragama, sehinggakan kita (terutamanya muslim yang percaya bahawa dunia ini hanyalah sementara) perlu mengikut jejak mereka daripada mendekatkan diri kita dengan piagam yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri ?

Mustafa Kemal Ataturk memilih untuk tidak lagi beromantika dengan Empayar Uthmaniah apabila mengasaskan Republik Turki sekular. Ini jelas sejak awal lagi. Ini juga telah diperjelaskan dengan cukup terang dalam perlembagaan negara itu. Jadi apabila ada ura-ura atau gerakan yang seperti mahu meniup semula semangat Islam ke dalamnya, seluruh umat Istanbul memilih untuk keluar ke jalan dan memprotes keras. Bagi mereka agama perlu diasingkan daripada urusan-urusan negara dan kenegaraan! Dengan membawa sepanduk gambar Mustafa Kemal Ataturk dan mengibarkan bendera negara, rakyat Turki sering memperingatkan hal ini kepada kerajaan mereka. Dan begitu juga dengan ketumbukkan tenteranya, yang sering memerhatikan dengan tajam mata seekor helang; memerhati secara taktikal pergolakan semasa politik negara.

Kita tidak lupa akan siri-siri rampasan kuasa oleh tentera negara anggota Nato ini. Walaupun negara ini pada dasarnya sekular (tidak beragama dan tidak mempunyai agama rasmi, seperti Malaysia), namun sesiapa saja bebas mengamalkan agama masing-masing. Walau bagaimanapun pasti ada beberapa kumpulan yang akan mengatakan sebaliknya-pokoknya, dissents dan dissenting views ada saja di mana-mana.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kemenangan demi kemenangan AK Parti atau AKP, sejak dari sesi pemerintahan Abdullah Gul sebagai Perdana Menteri (walaupun hanya sekejap) sehinggalah kepada pemerintahan terkini Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan parti pimpinannya (yang mendapat lebih daripada 46 peratus sokongan rakyat Turki pada pilihanraya 2007) ini, sudah mula berdikit-dikit meniup roh Islam dalam urusan-urusan kenegaraan. Semua ini dibuat secara halus. Recep Tayyip Erdogan sendiri (bekas Datuk Bandar Istanbul ini pernah dipenjarakan dan dilarang daripada berpolitik untuk beberapa ketika kerana imannya) pernah menegaskan bahawa partinya bukanlah bergerak di atas garis-garis agama. Itulah harga yang patut dibayar untuk pemimpin lulusan sekolah agama sepertinya kerana sedar akan perlembagaan sekular negara. Mereka sememangnya tidak boleh dilihat daripada melakukan perkara-perkara yang boleh didefinisikan sebagai ‘aktiviti-aktiviti anti sekular’. Tetapi lain pula dengan kita di sini yang memilih untuk memandang sepi (tanpa berbuat apa-apa) mereka-mereka (selalunya ahli-ahli politik dan juga pemimpin-pemimpin persatuan bukan kerajaan) yang melakukan aktiviti-aktiviti bersifat anti Islam! Berapa ramai ahli politik bukan muslim Malaysia yang telah mengkritik agama ini secara terbuka walaupun mereka tidak mempunyai hak langsung untuk bercakap tentang agama ini sepertimana kita muslimin yang menyerahkan bulat-bulat urusan beragama mereka.

Hari demi hari Islam dicabar dengan perbuatan ataupun kenyataan yang dibuat mereka, yang tentunya lahir daripada kejahilan dan perasaan buruk sangka mereka terhadap Islam dan umatnya. Tetapi malangnya, parti Islam ataupun parti-parti yang mempunyai orang Islam sebagai pendukungnya memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Sungguh malang nasib muslim di Malaysia dewasa ini. Jika Turki boleh menghukum parti-parti politik yang mengganggu gugat character sekularnya, kenapa pula kita di sini tidak boleh berbuat sedemikian kepada parti-parti politik yang mengganggu gugat character Islam Malaysia?

Dan apabila suara-suara ‘sederhana’ masih mahu menyuruh kita memandang ke Turki untuk dijadikan contoh dalam kita bernegara, tentulah kita mahu bertanyakan mereka perihal wanita-wanita yang telah kehilangan kerja atau yang tidak dinaikkan pangkat hanya kerana mereka memilih untuk bertudung? Dan bagaimanakah pula dengan mereka-mereka yang tidak mendapat tempat langsung di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta hanya kerana mereka bertudung? Sudahkah kita lupa kepada Merve Kavakci yang dilarang daripada mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hanya kerana tudung dikepalanya? Dan apabila Makhamah Hak Asasi Eropah memutuskan perbuatan melarang mereka-mereka yang bertudung daripada memasuki bangunan-bangunan kerajaan (dan juga di sesetengah institusi swasta) sebagai legitimate, adakah kita berpendapat hak Merve Kavakci sebagai individu (dan sebagai warganegara Turki) dan juga hak mereka-mereka (rakyat-rakyat Turki yang lain) yang memilih untuk mengundinya sebagai tidak legitimate? Pokoknya di bawah panji-panji sekular (tidak seperti Islam di Malaysia) Turki, kebebasan beragama seperti disekat. Jika seseorang itu boleh memilih untuk tidak bertudung dan dibenarkan untuk belajar dan seterusnya bekerja, mengapa pula seseorang yang memilih untuk bertudung dilayan sebaliknya? Kenapa pula negara sekular Turki dilabelkan sebagai mempunyai neutrality terhadap agama apabila muslimah yang mahu melaksanakan tuntutan agama sering ditindas?

Kita mungkin sedikit gembira apabila Amerika Syarikat tidak pernah menghalang muslimahnya daripada memilih untuk berhijab ataupun tidak, dan pada masa yang sama masih lagi bebas untuk bekerja dalam keadaan sedemikian. Secara rasminya Amerika Syarikat adalah negara sekular. Namun the First Amendment dalam Perlembagaan U.S menjamin kebebasan beragama. Dan walaupun hampir 80 peratus rakyatnya kristian, terdapat lebih kurang 10 juta muslim di Amerika. Amerika Syarikat lebih sesuai dipanggail negara yang mengambil pendekatan neutral dalam beragama. Mereka tidak seperti Perancis yang adakalanya lebih menyanjungi ahli-ahli falsafahnya sehinggakan bersifat anti agama. Dan pasca 11 September 2001, Islam pesat membangun di Amerika Syarikat. Semenjak serangan pengganas itu yang mana rakyatnya rata-rata (dengan propaganda media-media barat terutamanya) menuding jari mereka kepada muslim dan Islam! Islam hebat diperkatakan di dada-dada akhbar perdana. Wanita bertudung yang kehilangan suami semasa 911 menjadi santapan mata wanita-wanita Amerika Syarikat yang menonton rancangan bual bicara popular Oprah Winfrey. Muslimin dan muslimat yang sebelum ini mengamalkan Islam secara senyap dan senyap-senyap harus berhadapan dengan pertanyaan dan adakalanya cemuhan rakan senegara bukan Islam mereka. Namun inilah sebenarnya yang menjadi pendorong kepada kepesatan Islam di Amerika Syarikat kini. Melihat kepada itu semacam ada sisi admirable yang patut kita contohi. Tetapi apakah sudah cukup dengan hanya sisi itu.

Ketika kita sangat kritikal dengan negara kita dalam semua hal sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti rakyatnya beragama Islam dan Islam sebagai agama rasminya, kita tidak patut melupakan kisah-kisah penindasan dan ketidakadilan yang dilalui saudara-saudara kita di sana. Adakah dengan melantik Presiden kulit hitam pertama, Amerika Syarikat sudah menjadi jauh lebih putih daripada kita? Pernahkah kita terfikir tentang kemungkinan Barack Obama tidak dipilih menjadi calon Presiden (jauh sekali Presiden) jika dia beragama Islam? Apakah kita lupa akan polemik demi polemik di media massa Amerika hanya kerana risaukan kiblat kepercayaan agama calon Demokrat itu? Apa buruk sangatkah Islam sehinggakan muslim tidak layak menjadi pemimpin negara kuasa besar dunia itu?

Dalam kita berbangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai ekonomi terbesar dunia itu, adakah kita memilih untuk lupa Amerika juga mempunyai kadar keganasan jenayah dan kes-kes bunuh yang sangat tinggi? Jauh lebih tinggi daripada negara-negara maju lain. Adakah dengan mencadangkan negara sesekular Amerika Syarikat adakah kita telah bersedia untuk perkahwinan sama jenis yang dipraktikkan di sana? Negara itu juga sangat terkenal dengan hedonis industri Porno dan Hollywood, undang-undang negara membolehkan semua itu bercambah di sana, adakah kita sudah bersedia? Adakah kita tahu lebih daripada 16 peratus daripada rakyatnya (mengikut banci yang diadakan pada tahun 2007) merupakan mereka yang berfahaman ateis atau tidak langsung mempunyai agama. Dan dikalangan mereka-mereka yang beragama, ada pula yang memilih untuk mengunjungi denominasi-denominasi sesat seperti Church of Satan! Adakah masyarakat kita sudah bersedia untuk menghadapi semua ini? Jika kita mahu menjadi sesekular Turki dan Amerika, mampukah kita menghalang segala sesuatu kepincangan yang berlaku di sana yang datang bersama-sama sekular, ketika kita dewasa ini tidak lagi mampu menghalang segala sesuatu yang bersifat anti perlembagaan atau Islam? Adakah kita telah bersedia untuk melihat anak-anak kita dimurtadkan seperti yang banyak melanda saudara seagama kita di Malawi?

Membandingkan nilai-nilai yang baik daripada Turki dan Amerika Syarikat (malah negara mana sekalipun) untuk menambah baik kekurangan yang ada di Malaysia adalah satu langkah yang bijak. Banyak nilai-nilai admirable yang datang dari sana, seperti kesungguhan dalam mengejar ilmu dan mengembangkan teknologi umpamanya. Ini sangat Islamik. Budaya menuntut ilmu memang dituntut agama kita. Ini adalah faktor utama yang membuatkan empayar Islam berkembang 1400 tahun dulu. Tetapi ini tidak bermakna Malaysia dengan acuan kenegaraan yang tersendiri, patut lari daripada professing Islam sebagai agama rasminya. Ia tidak perlu murtad! Acuannya sudah elok. Negara kita tidak seperti Turki, Amerika Syarikat mahupun Indonesia (republik sekular dengan populasi muslim yang terbesar di dunia) yang tidak beragama. Undang-undang tertingginya mengangkat Islam sebagai agama rasminya. Ini sudah jelas. Dan dalam keadaan-keadaan tertentu undang-undang syariah terpakai di sini. Itu juga tidak perlu kita buang, malah perlu diberikan lebih penjelasan (dan penekanan) tentang mekanisme pelaksanaannya supaya tidak timbul salah faham. Suara-suara ‘sederhana’ perlu ada mentaliti ini dan tidak perlu berbuat sebaliknya.

Kita gembira apabila negara sesekular Amerika Syarikat boleh menjadi tempat muslimin meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan aman dan damai. Perkembangan pesat Islam dengan populasi muslim meningkat, memang sangat membanggakan. Dan kita sentiasa mendoakan yang terbaik kepada muslim di sana. Tetapi itu tidak bermakna mereka lebih baik daripada kita dalam semua hal. Itu juga tidak patut dijadikan alasan untuk kita membuang terus Islam daripada kamus rasmi negara kita. Dunia kita pelbagai (kenapalah agaknya mereka yang selalu berdakwah untuk pluralisme tidak boleh nampak akan hal ini?), ada negara komunis dan sebaliknya. Ada juga negara sekular dan sebaliknya. Dan dikalangan negara-negara yang ‘beragama’, negara kita dengan latar belakang sejarah dan penduduknya telah memilih Islam, ada negara-negara lain memilih Kristian dan Hindu.

Tidak keterlaluan juga jika disimpulkan bahawa kemajuan Al Andalus berbanding dengan negara-negara Eropah lain semasa zaman emasnya adalah kerana jiwa Islamnya. Al Andalus (seperti gelaran yang diberikan kepadanya) ditawan ketika masyarkat dan bandarnya berada dalam keadaan kelam-kabut. Dan daripada kekalutan itulah negara itu bangkit dengan Nur Islam. Dengan suntikan ilmu daripada dunia Islam, masyarakat Al Andalus mengalami kepesatan ekonomi sehinggakan membawa kepada kekayaan baru untuk rakyatnya. Istana-istana besar seperti Madina Al Zahra di bina oleh khalifah Abdul Rahman III ketika Raja England masih tinggal dalam dewan-dewan besar buatan kayu. Puisi dan muzik arab yang menjadi siulan masyarakatnya banyak memberi inspirasi kepada penduduk eropah yang lain.

Begitu juga dengan Toledo, bandar yang diasaskan muslim sepanyol ketika itu amat terkenal sebagai pusat ilmu eropah, sehinggakan seluruh cendiakawan dan mereka yang dahagakan ilmu berhijrah ke sana. Cordoba pula telah jauh maju meninggalkan bandar-bandar lain di eropah dengan 70 perpustakaan dan lebih 300 rumah mandi awam. Islam sangat mengutamakan kebersihan. Cantiknya Cordoba ketika itu sehinggakan mereka yang pernah ke sana mengelarnya sebagai ‘perhiasan dunia’! Dan mereka-mereka yang ‘sederhana’ dikalangan kita juga tidak harus lupa bahawa selain daripada bandaraya Madrid yang telah diasaskan oleh orang-orang Islam sepanyol, mereka juga telah membina Al Hambra yang menjadi lambang kepada keagungan kesenian dan intelektual Islam.

Persoalannya kenapa sekarang ada diantara kita seperti mahu berpaling daripada ini semua? Apakah kita lupa, Kesultanan Melaka yang super makmur dan sangat masyhur di seluruh pelusuk dunia (sehingga membawa portugis ke pantai-pantai putih kita) juga lahir daripada keberkatan sistem agama tauhid yang sama? Dan kenapa pula setelah kita jauh lebih makmur daripada Indonesia dengan acuan Islam yang sedia ada, kita mula membicarakan tentang konsep negara sekular seolah-olah Islam itu akan membawa kepada kemunduran, sama seperti apa yang hebat diperkatakan di Barat? Sejak bila pula kiblat kita sudah lari jauh meninggalkan Mekah? Hijrah apakah pula yang sedang kita kempenkan?

0 comments:

Imran N Hosein

Loading...