Mentauhidkan Isu Palestin

Tuesday, May 8, 2012

Isu Palestin dan pendudukan haram rejim Zionis ke atas tanahair bangsa Palestin (tidak mengira latar belakang keturunan dan agama) harus menjadi asas perjuangan setiap muslim kerana kita telah diberitahu dengan lebih awal episod akhir penjajahan ini.  Tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai muslim kita tahu siapa yang benar dan siapa yang menipu, kerana kebenaran hakiki ada pada kita.  Islam agama kita dan juga Al Quran Kalamullah.

Dr Imran N Hosein dalam bukunya bertajuk the Religion of Abraham and the state of Israel- A View From the Quran, menulis ‘Allah swt adalah kebenaran yang hakiki (Al-Haq), dan kebenaran hanya datang daripada Allah.  Kebenaran Hakiki dunia dewasa kini hanya wujud dalam Islam.’  Jadi tidak keterlaluan jika dikatakan adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mempertahankan Tanah Suci Palestin daripada sebarang bentuk pencerobohan.  Tetapi nampaknya bukan semua muslim berfikiran sedemikian.  Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, pada 26 Januari lepas sebagai contoh berkata ‘I support all efforts to protect the security of the state of Israel’ ketika di wawancara oleh Wall Street Journal.  Bahasa Inggerisnya mudah dan ringkas.  Kita faham maksud yang disuarakan beliau.  Tetapi adakah pandangan itu selari dengan pandangan yang terdapat dalam Al Quran?

Dr Imran N Hosein berkata adalah menjadi dua perkara pokok untuk kita muslim fikirkan apabila bercakap tentang keabsahan negara Israel.  Pertama sekali kita harus bertanya samada kita bersetuju dengan pandangan Yahudi Zionis bahawasanya Allah swt memberikan Tanah Palestin eklusif dan selama-lamanya (selagi ada bulan dan bintang) kepada mereka? Dan keduanya kita perlu ikhlas dengan diri kita dan bertanya, adakah bangsa Yahudi Zionis adalah bangsa pilihan Allah swt dan mereka berhak untuk merampas Tanah Palestin kerana perjanjian Allah swt dengan mereka masih terpakai (valid)?  Jika ya jawapannya, secara tidak langsung kita juga bersetuju dengan pandangan mereka bahawasanya, Judaisme adalah Kebenaran Hakiki dan mereka berhak memiliki Tanah Palestin.   

Tentu sesetengah daripada kita akan beralasan yang kita menyokong keamanan dengan ‘two-state solution’.  Tetapi persoalannya, penyelesaian dua-negara untuk siapa?  Untuk memenangkan siapa?  Apa harganya?  Dan siapakah kita yang berani menidakkan perintah Allah swt dengan menjamin keselamatan Negara Haram Israel?

Siapa pula yang mahu kita tipu?  Dr Imran N Hosein memetik firman Allah swt dengan tepat sekali tentang hal ini.

 ‘Mereka cuba menipu Allah dan (cuba menipu) orang-orang Islam (pengikut Nabi Muhammad), tetapi mereka cuma berjaya menipu diri mereka sendiri dan tidak mampu untuk menyedarinya’            
(Al Quran, Al Baqarah : 2:9)

Inilah yang telah dibuat oleh Yahudi Zionis antarabangsa dan pendokong-pendokongnya.  Mereka merompak tanah bangsa Palestin dengan melanggar perintah Allah swt apabila mengadakan Perjanjian Balfour pada 1917 untuk mengadakan sebuah Negara Haram untuk bangsa yang telah dihalau Allah swt setelah mereka menfitnah agama yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim as.  Dr Imran N Hosein menulis, ‘...Allah swt melarang kemasukan semula Bani Israel dan penubuhan Negara Israel di tanah suci Palestin’. Al Quran surah Al-Anbiya 21:96 menyatakan dengan jelas tentang perintah Allah itu.

Namun Pendatang Haram Yahudi Zionis berketurunan Eropah dibawa masuk secara besar-besaran ketika British menjajah Negara Palestin (bekas empayar Kesultanan Turki Uthmaniah) kononnya untuk melarikan diri daripada keganasan Nazi.  Kejayaan mereka memasuki Haifa mendapat campurtangan daripada Amerika Syarikat yang pada ketika itu dilihat sebagai sebuah kuasa barat berpengaruh setelah membantu Puak Perikatan memenangi Perang Dunia Ke-2.  Semakin lama semakin ramai pendatang haram yahudi zionis yang dibawa masuk.

Pendatang Haram Zionis tidak datang dengan tangan kosong, pembersihan etnik bangsa Palestin dilakukan secara sistematik di tanahair mereka sendiri.  Tanah, rumah dan harta benda kepunyaan bangsa Palestin dirampas.  Bangsa Palestin dihalau, jika tidak dibunuh dengan kejam.  Ladang-ladang Zaitun yang menjadi saksi kepada kewujudan bangsa Palestin ditarah hingga menjadi padang jarak padang tekukur. Dipimpin oleh penjenayah perang seperti Ben Gurion tanah palestin sedikit demi sedikit dijajah Yahudi Zionis samada melalui keganasan ataupun peperangan. Hal ini berterusan sehinggalah bangsa Palestin meninggalkan tanahair tercinta secara besar-besaran pada tahun 1948.  Al Nakba masih menjadi titik hitam dalam sejarah bangsa Palestin dan diingati setiap tahun pada 15hb Mei. 

Sehingga ke hari ini juga bangsa Palestin masih lagi ditindas dan dilayan tidak ubah seperti ‘goyim’ seperti yang digelarkan bangsa Yahudi Zionis kepada manusia yang bukan sebangsa dengan mereka.  Titik pemeriksaan di sana-sini untuk menyusahkan pergerakan harian bangsa Palestin.  Ibadah mereka juga sering diganggu-gugat. Kaum-kaum lelaki mereka ditangkap dan diseksa jika tidak dipenjarakan.  Kanak-kanak dibuli dan ada juga yang ditangkap hanya kerana membaling batu.  Bukti tentang penderaan kanak-kanak Palestin di Shaba, tersebar meluas.  Itu belum lagi dengan senjata kimia (dan juga senjata-senjata baru) yang digunakan ke atas bangsa Palestin ketika pertempuran berlaku.  Negara Haram Israel telah melanggar seribu-satu undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, tetapi kenapakah masih ada diantara kita yang mahu bersimpati dengan hak batil bangsa Israel?!

Dalam buku Dr Imran N Hosein beliau menjelaskan secara terperinci mengapa dan kenapa bangsa Yahudi Zionis tidak mempunyai hak ke atas Tanah Palestin.  Kezaliman dan Dosa Syirik yang telah mereka lakukan berulangkali mengundang kemurkaan Allah swt.  Beliau juga menyentuh bagaimana Yahudi Zionis menipu tentang kedudukan Nabi Ismail as dan Nabi Ishak as, kedatangan Nabi Isa as; sehinggalah membawa kepada rumusan beliau bahawa mana-mana muslim yang menyokong keabsahan Negara Israel telah melakukan dosa syirik kepada Allah swt kerana menidakkan perintah Allah swt melarang penubuhan negara batil tersebut.  Kenapa dan mengapa beliau berkata demikian bolehlah dibaca dengan jelas dan terperinci dalam bukunya tersebut.

 Oleh yang demikian timbul persoalan berikut, asas keadilan mana yang saudara Anwar Ibrahim pegang untuk menjamin keselamatan bangsa yahudi zionis yang menjajah tanah air bangsa Palestin?  Sejak bila pula motto perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ‘Keadilan untuk Semua’  menjadi begitu songsang sehingga tergamak menidakkan hak mereka yang ditindas (termasuklah bangsa Palestin yang tidak dibenarkan pulang) dan memperjuangkan pseudo-hak penjenayah perang (yahudi zionis antarabangsa)?  Adakah Anwar Ibrahim juga bersetuju dengan tembok-tembok konkrit yang dibina atas nama keselamatan negara Israel, sehingga memenjarakan bangsa Palestin di tanahair mereka sendiri?  Sia-sia saja Tembok Berlin runtuh jika seorang reformis demokrasi berfikiran sedemikian songsang!

Dan asas agama Islam mana pula yang Parti Islam Se-malaysia (PAS) pegang sehingga sanggup bersubahat dengan beliau?  Adakah PAS juga sudah selesa dengan kalimah kufar, tujuan menghalalkan cara, si Machiavelli?  Asal dapat ke Putrajaya bersama-sama ‘Imam Mahadi’, PAS sanggup tutup sebelah mata dengan melacurkan politik Islam yang sering dibanggakannya apabila sanggup tidur sekatil dengan ahil-ahli politik pro Zionis?  Mustahil ulama-ulama PAS gagal melihat kenyataan Anwar Ibrahim seperti yang telah dibahaskan penulis dengan berpandukan buku Dr Imran N Hosein?  Apa yang Mursyidul Am faham dengan penjelasan Anwar Ibrahim, seluruh muslim berhak tahu dengan jelas dan nyata?!

Rakyat Malaysia harus menolak politik pro Zionis secara total.  Zionis dan zionisme tidak boleh diberi ruang bercambah di Malaysia.  Bunga-bunga kepada gerakan ini semakin hari semakin jelas kelihatan.  Zionis sleepers sudah berani menunjukkan wajah hitam mereka.  Namun kuasa memilih ada pada kita.  Pilihanraya akan datang nanti haruslah digunakan sehabis baik untuk membanteras zionisme di Malaysia. Gerakan Haganah alaf baru ini harus ditentang secara sistematik.  Kejayaan Amerika Syarikat (Kilang Zionis Antarabangsa) menghalang penularan fahaman komunisme di negaranya patut dijadikan contoh.  Kerajaan yang sanggup untuk berbuat demikian haruslah disokong dan diberi peluang.  Jika tidak kita semua akan terima sebesar-besar bala sebagai balasan kepada subahat kita.  Mungkin lebih dasyhat daripada apa yang pernah kita dengar dan lihat!

Imran N Hosein

Loading...