Surah al Khafi dan Jalan Pintas ke Syurga-surat terbuka kepada Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Friday, July 6, 2012

“Saya lihat sebahagian besar mereka yang hadir teramat taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu melampau. Kejumudan pemikiran mereka begitu terserlah.  Kebekuan pemikiran mereka tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, terutama dalam mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.”

...

“Pada saya, inilah sebenarnya yang menjadi punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Dalam hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Di manakah sikap kesederhaaan (berimbang) atau wasatiyyah yang sepatutnya menjadi pegangan kita semua? Lebih menyedihkan lagi, mereka bersorak dan mengejek-ngejek ketika ayat-ayat Quran dan Hadis dibacakan.”

Dipetik daripada ridhuantee.blogspot.com, sila klik pautan untuk faham latarbelakang artikel ini yang merupakan surat terbuka saya kepada Dr Ridhuan Tee Abdullah sebagai berkongsi kesedihan peristiwa tersebut berlaku kepada beliau di satu majlis wacana ilmu di negeri serambi Mekah.

Bismillahirahmannirrahim.

Surah Al Khafi ayat 56:

Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.

“Saya mungkin akan dikutuk dan diserang lagi selepas ini seperti yang dilakukan dalam you tube Wacana tersebut, yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan. Tetapi saya mengambil sikap tidak kisah. Puak-puak fanatik dan taksub ini boleh berkata apa sahaja tentang diri saya. Saya tidak peduli apa yang manusia mahu kata. Saya lebih peduli kepada apa yang Allah kata.”

Assalamualaikum prof yang saya kasihi, semoga kesabaran tuan dibalas Tuhan Yang Maha Esa, seadilnya dan sesungguhnya saya bersetuju dengan pendapat tuan, sememangnya apa yang mereka perkatakan dan fikir terhadap kita, tidak penting melainkan Allah subhanawataala jua. Kerana hanya Dialah yang berhak seperti yang diceritakan dalam surah yang sama pada ayat 44:

Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

Semalam ketika saya menghadiri ceramah tentang akhir zaman bertajuk ‘The Conquest of Constantinople in Akhir Al Zaman’ oleh Sheikh Imran N Hosein di masjid UIA, beliau banyak melemparkan pandangan yang jarang-jarang kita dengar daripada cendiakawan Islam yang lain, khasnya di Malaysia.  Saya harap ada pandangan kedua dan ketiga oleh cendiakawan muslim Malaysia tentang ilmu dan analisa akhir zaman, supaya porses pemerolehan ilmu menjadi lebih sihat dan menguntungkan semua.



Namun seperti prof, saya juga tidak kisah apa label orang lain ke atas beliau, kerana saya pergi atas dasar ingin menimba ilmu. Pada saya, beliau yang pernah saya hadiri ceramahnya di Pulau Pinang sepuluh tahun lampau, ketika memperkenalkan buku terbarunya (ketika itu) ‘Jerusalem in the Quran’ merupakan seorang yang dikurniakan Allah subhanawataala mata qalbu yang sangat tajam.  Wallahualam. 

Pendapat ini saya simpulkan setelah membaca tiga buku nukilan beliau, beberapa artikel penulisan beliau dan juga ceramah-ceramah beliau yang banyak terdapat di youtube.  Silalah semua menjengah kuliah beliau di laman maya.  Semoga kita mendapat pengajaran sedikit sebanyak daripada apa yang telah beliau sampaikan.  Amin Ya Rabbal Alamin.

Alhamdullilah kelapangan yang dikurniakan Allah subhanawataala kelmarin untuk berjumpa dan bertukar-tukar pendapat walaupun sebentar mengukuhkan lagi pemahaman saya tentang fitnah Dajjal di akhir zaman.  Wallahualam. Semoga Allah memelihara agama kita daripada kejahatan seperti yang diperlakukan kepada pemuda-pemuda soleh yang tertidur dalam Al Khafi. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tetapi yang paling penting Sheikh Imran N Hosein, semalam mengingatkan kami semua yang hadir, agar tidak sekali-kali mempercayai membuta tuli padangan dan buah fikiran beliau.  Kecuali yakin dengan bersandarkan kajian dan pencarian yang dilakukan sendiri, bahawanya ianya benar bersandarkan Al-Quran dan sumber hadis yang pelbagai.  Ingatan beliau lagi agar kita tidak membaca satu hadis saja untuk mengukuhkan hujah kita kerana ianya tidak mencukupi.  Perbuatan tersebut beliau label sebagai ‘lazy scholars’ kepada pendukung amalan tersebut.  Tambah beliau lagi beliau sebagai seorang manusia mampu untuk melakukan kesalahan. Khilaf.  Mungkin sesetengah tok guru di Malaysia maksom, wallahualam.  

Tetapi Sheikh Imran N Hosein menegaskan amatlah malang jika pelajar-pelajar menerima ilmu bulat-bulat tanpa usul periksa.  Seorang guru yang melakukan kesilapan akan mewariskan kesilapan tersebut kepada pelajar-pelajarnya yang tidak sedar akan hal tersebut kerana tidak kritikal ketika menimba ilmu.  

Peringatan itu saja membuatkan saya lebih menghormati Sheikh Imran N Hosein kerana dia sedar dia hanya manusia biasa yang tidak maksom.  Beliau buang ego dan riak dengan mengaku kemungkinan kajiannya kurang tepat supaya yang mengikuti boleh bersiap sedia untuk mengkaji dengan lebih mendalam.  Beliau juga semalam, ada mengingatkan pandangan beliau hanya terhad kepada ilmu tertentu dan ada ilmu lain yang perlu ditanyakan kepada mereka yang ahli.  Beliau tidak mahu kami taksub dengan beliau.  Beliau mungkin tahu musibah yang akan berlaku jika kita taksub sesama hamba tanpa kembali kepada ajaran Al-Quran dan Hadis Rasullulah salallahualaihiwassalam.  Takut jatuh syirik pula seperti yang diceritakan pada ayat 110:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya"

Buku beliau ‘Sura Al Khaf and The Modern Age’ yang pernah saya baca tidak berapa lama dulu ada menyentuh tentang peristiwa Nabi Musa alaihisalam dan Khidir (jika saya tidak silap kerana, mungkin terkeliru antara buku dan siri-siri ceramahnya yang banyak menyentuh tentang kisah ini) yang dikurniakan Allah subhanawataala ilmu yang mungkin tidak ada pada Nabi Musa alaihisalam, seperti yang diceritakan pada ayat 65:

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

Kebanyakkan muslim tahu akan kesudahan kepada pertemuan ini.  Mungkin ada sesuatu yang Allah subhanawataala mahu ingatkan kepada kita semua.  Allah subhanawataala mungkin mahu menegur Nabi Musa alaihisallam.  Mungkin juga tidak.  Mungkin bukan Nabi Musa alahisalam seorang saja yang mahu ditegur, mungkin kisah ini lebih kepada mahu menegur umat Nabi Muhammad salallahhualaihiwasaalam yang akan memegang amanah menegakkan Islam di Akhir Zaman?  Namun intipatinya pada pandangan saya ialah untuk meningatkan kita terutamanya bahawa kita sememangnya tidak tahu semua.  Ilmu Allah subhanawataala tidak akan terjangkau dek akal manusia kita. Waima lulusan Cambrigde, Oxford atau Al Azhar sekalipun!

ayat 109:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan"

Itu adalah hakikat yang harus kita terima dan akur dengan penuh rasa rendah diri.  Ilmu daripada Allah subhanawataala itulah lebih benar daripada segala-galanya.  Dan ianya tidak dapat dipaksa-paksa, kerana Allah subhanawataala akan memilih sesiapa saja yang Dia mahu, seperti yang diceritakan ayat di atas.

Oleh itu sedarlah wahai saudara muslim sekalian, apa yang kita fikir benar mungkin tidak benar, mungkin tidak haq.  Di Akhir Zaman, seperti yang sering diperingatkan oleh Sheikh Imran N Hosein, apa yang berlaku sebenarnya bukanlah seperti yang kita sangka.  Oleh itu hendaklah kita sentiasa bersederhana dalam memperjuangkan sesuatu yang kita yakini.  Mungkin sampan yang dirosakkan itu adalah untuk kebaikkan tuan empunya sampan.  Wallahualam.  Siapalah kita yang mampu menidakkan kehendak Allah subhanawataala? 

Arab Spring juga mungkin bukanlah seperti yang kita sangka.  Dan Turki juga mungkin bukanlah seperti yang kita sangka.  Pejuang-pejuang jihad Libya dengan bersenjatakan sumbangan Perancis juga mungkin bukanlah seperti yang kita sangka.  Ini boleh dilihat sekelumit dalam cara mereka memelihara (atau tidak memelihara) mayat bekas Presiden Libya Muammar Gaddafi itu sendiri.  Wajarkah jenazah beliau dihina dan diperlakukan sedemikian rupa? 

Mungkin juga ada yang sedar tetapi semuanya telah terlambat.  Adakah kesombongan kita dalam memperjuangkan sesuatu isu membuatkan kita melakukan salah percaturan?  Yakinkah kita bahawa setiap apa yang dilakukan kita adalah amalan yang boleh membawa kita menjengah bau syurga?  Jika jawapannya tidak, maka sudah semestinya kita harus senantiasa bersederhana, berjaga-jaga dalam mengerjakan segala sesuatu supaya memperoleh keredhaan Allah, Tuhan sekelian alam. 

Pokoknya kita harus sentiasa berendah diri mahu mencari ilmu haqiqi.  Sombong, riak, tidak berkasih-sayang sesama manusia akan membuatkan ilmu didada hilang begitu saja.  Sheikh Imran N Hosein ada memperingatkan tentang hal ini.  Dan untuk ilmu baru masuk ke dada, katanya lagi, hendaklah kita sentiasa merendah diri dan tidak angkuh dan sombong sesama hamba.  Berteriak, bertempik, ber’boo’ dan sebagai bukanlah contoh akhlak syumul ahli syurga.  

Beristiqamah mahu ke syurga bukanlah mampu dicapai dengan hanya menganggotai barisan-barisan tertentu, tanpa perlu berusaha keras sepanjang masa dan ketika berkelakuan seperti ahli-ahli syurga.  Contoh terbaik ialah di dunia, dan jika menjadi ikutan, kerana perbuatan baik tersebut tentulah membolehkan mendapat pahala yang sudah tentunya akan membuka jalan yang lebih luas ke syurga. Tetapi sesungguhnya masuk atau tidak seseorang itu ke dalam syurga hanyalah di ketahui oleh Allah subhanawataala semata-mata, seperti yang diceritakan di ayat 26:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

Dan untuk mereka yang masih yakin akan senarai nama mereka-mereka yang telah menempa nama jalan pintas ke syurga ingin saya bertanyakan dua soalan. 

Pertama, berapa ramaikah sebenarnya pemuda al khafi?

    1. a)    3 orang dan keempatnya anjing mereka?
    2. b)    5 orang dan kelimanya anjing mereka?
    3. c)    7 orang dan kedelapannya anjing mereka?

Dan kedua, berapa lama pula mereka telah ditidurkan Allah subhanawataala? 

    1. a)    300 tahun
    2. b)    309 tahun

Jika ini pun tidak mampu di jawab, masakan kalian tahu siapa yang akan ke syurga dan siapa yang akan ke neraka?  

Maka sesungguhnya kalian semua adalah pendusta-pendusta agama  yang telah dibutakan hati oleh Allah subhanawataala seperti yang diceritakan dalam ayat 57:

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

Dan pada ayat 101:

(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.

Dan mereka inilah mungkin juga yang dikiaskan sebagai tertidur daripada tanda-tanda kebenaran yang terpampang di depan mata.  Mereka kelihatan seperti berilmu, tetapi gagal memahami ilmu akhir zaman dengan sejelas-jelasnya seperti mereka-mereka yang diberikan petunjuk oleh Allah subhanawataala.  

Mereka ulama tetapi gagal melihat bahawasanya penaklukan konstantinopel pada 1453 bukanlah penaklukan akhir zaman yang diramalkan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.  Lalu mereka mengiakan penaklukan al Fateh sebagai pretext kepada munculnya Al Masih Dajjal lebih 500 ratus tahun lampau dan umat Islam akhirnya terikut tertidur dengan pendapat mereka ini yang sesungguhnya merugikan muslim. 

ayat 19:

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

Apabila saya bertanyakan kepada Sheikh Imran N Hosein mengapa orang-orang baik, yang kelihatan secara fizikal atau bentuknya, baik, kuat beribadah dan beramal soleh dan tinggi ilmu agamanya, tetapi gagal untuk melihat percaturan licik Dajjal dalam arena politik antarabangsa?  Jawapannya ringkas namun penuh makna, ‘methodologies’.  Saya dambakan jawapan yang lebih konkrit.  Namun malam juga semakin lewat, Sheikh kelihatan letih dan saya tidak ingin mengasak beliau dengan soalan yang mungkin akan membawa seribu satu ketidakselesaan kepada beliau.  Menuntut ilmu pada saya juga ada adab dan tertibnya.  Hati dan perasaan sesama manusia harus dijaga.  Sesungguhnya sesi soal jawab forum telah selesai.  Sheikh Imran N Hosein sebenarnya baik hati untuk meluangkan sedikit lagi masa bersama kami yang masih tagihkan ilmu beliau.  Masa yang beliau pinjamkan boleh beliau ambil semula.  Beliau menguap, bangun dan bersalam sesama kami.  Saya akur.

Namun daripada apa yang pernah saya baca beliau ada menegaskan dalam penulisan beliau tentang kedudukan Madinah di Akhir Zaman, yang mana, setelah Dajjal menakluk Arab Saudi melalui pakatan Wahabi (pandangan Sheikh Imran N Hosein sendiri-perlu lebih banyak pembacaan kenapa beliau berkata demikian kepada mereka yang tidak biasa membaca tulisan beliau), “mereka melancarkan satu usaha jahat untuk mengekplotasi ibadah Haji pada tahun 1344 hijrah  untuk mendapat pengiktirafan politik dan agama daripada dunia Islam berkenaan dengan pemerintahan mereka ke atas tanah Hijaz dan tanah Haram.  Usaha tersebut gagal.  Kemudiaan mereka cuba pula untuk mengekplotasi bandar Nabi Muhammad (sallahu alaihi wa sallam) dengan menyebarkan fahaman Islam dengan epistemologi mata-satu yang menidakkan pemerolehan ilmu pengetahuan dengan pemerhatian rohani (firasat seorang mukmin).  Madinah menjadi sebuah Bandar universiti dengan agenda untuk mengubah bentuk pemikiran Islam orang-orang arab dan juga bukan arab supaya ahli-ahli akademik dapat memastikan hanya ajaran dan pemikiran Islam yang tulen sahaja berkembang di Madinah. Tetapi yang sebaliknya berlaku kerana, ajaran dan pemikiran Islam yang ‘tulen’ yang ditaja mereka gagal menghasilkan cendiakawan yang dapat membezakan antara sesuatu yang kelihatan dengan realiti sebenar, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan Dajjal”.

ayat 18:

Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

Tetapi malangnya mereka ini merasakan merekalah yang lebih baik, lebih bersih, lebih beriman, lebih berilmu dan lebih berhak tempat di syurga Allah subhanawataala daripada mereka yang lain.  Sehinggakan mereka melabel mereka-mereka yang tidak mahu bersetuju dengan mereka sebagai kuda tunggangan atau pencacai satu barisan lawan yang mereka tidak suka.  Malangnya dewasa ini, hampir kesemua tuduhan dan cercaan yang mereka lemparkan kepada barisan yang satu lagi hanya memakan diri.  Tuduhan barisan lawan sebagai penindas golongan yang lemah misalnya, sudah mula bertapak dalam barisan mereka sendiri.

Islam tidak pernah menghalalkan cara, walau apa sekalipun alasan yang diberikan, muslim yang dambakan syurga tidak harus menindas muslim atau manusia yang lain.  Dalam perang sekalipun hak mereka yang lemah tetap dipertahan.  Sheikh Imran N Hosein mengkritik tingkah laku askar-askar al Fatih yang merogol wanita-wanita Kristian Byzantin.  Beliau juga mengatakan bahawasanya adalah haram untuk kita merampas gereja Hagia Sophia yang berusia seribu tahun lamanya dan menjadikannya sebagai sebuah masjid kerana ia adalah bangunan ibadat yang paling gah bagi dunia kristian dan perbuatan tersebut hanya menanam benih kebencian dikalangan penganut kristian.  

Hagia Sophia bukanlah sebuah bangunan terbiar kosong tidak berpenghuni yang dibaik pulih dan dijadikan masjid.  Kata Sheikh Imran N Hosein lagi kekhilafan tersebut membawa fitnah besar kepada kesyumulan Islam dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar serta amat memalukan.

Begitu tegas dan syumul ajaran Islam.  Haq dan batil tidak sama sekali dapat dicampur adukkan, dalam apa jua keadaan sekalipun.  Namun perbuatan segelintir (yang semakin ramai bilangannya dewasa ini) muslim dalam memperjuangkan pendirian dan hak amatlah mendukacitakan.  Atas nama perjuangan dan barisan mereka sanggup mengorbankan nilai-nilai murni muslim.  

Sebagai contoh sila lihat video ini, adakah ini satu perbuatan Islami yang diajarkan kepada ahli-ahli syurga?  Adakah hak mereka untuk menyatakan pendapat  dengan berbuat begini, melebihi hak mereka yang lain yang tidak mahu perkara sebegini terjadi?  Keadilan jenis apakah yang diperjuangkan oleh mereka-mereka ini sehingga sanggup menindas dan berlaku zalim ke atas pihak yang lemah?  Jika beginilah tingkah laku mereka yang selalu melaungkan ditindas, saya hanya dapat membayangkan yang maha buruk berlaku apabila kuasa berada ditangan mereka-mereka ini?  Sesungguhnya Allah subhanawataala itu Maha Adil dan Maha Bijaksana dan kita yang lemah ini hanya mampu berdoa dan berserah.






Dan bandingkan pula bentuk penindasan yang ini ke atas seorang jurulatih sukan dan pelajar-pelajar ciliknya oleh wanita-wanita yang rasa diri lebih baik, lebih telus, lebih mulia dan lebih benar daripada orang lain.  Soalan cepu emas ini tidak menjanjikan syurga tetapi sebagai mengasah minda melihat antara haq dan batil.  Pihak manakah yang menjerit sebenarnya?  yang menyuruh atau yang disuruh?





Dan peristiwa yang berlaku kepada prof tidaklah menghairankan sebenarnya.  Saya ada menonton beberapa bahagian petikan daripada wacana tersebut di youtube.  Inilah musibahnya jika kita mengutamakan bentuk daripada isi.  

Pernah seorang kenalan saya menceritakan yang beliau mengambil masa beberapa tahun sebelum mengenakan pakaian baju melayu lengkap setiap Hari Raya dengan bersongkok, walaupun diminta isteri melayunya (beliau revert muslim berbangsa cina) kerana songkok itu melayu!  Dan melayu itu barisan lawan parti politiknya.  Saya kata jangan taksub.  Siapa kata songkok itu melayu?  Orang yang perasan pandai saja akan berkata demikian.  Hamid Karzai itu melayukah?  Separuh ahli parlimen di Nepal dan Bangladesh itu melayukah?  

Amal ibadat itu pada saya lebih penting.  Kalau kepala berkopiah putih 24 jam sehari tetapi mengata-mengumpat, mengadu-domba, mengata nista, adakah lebih baik daripada seorang muslim yang bersongkok dan diam dan memelihara lidahnya? 

Sesunggunya mereka yang perasan maksom, sentiasa betul, riak, sombong dan taksub dengan aliran pemikiran barisan mereka itulah yang diceritakan seperti ayat-ayat dibawah. 

Waallahualam 

Diharap ayat 103:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

ayat 104:

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan"

dan ayat 105:

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Semoga prof, saya dan kita semua yang memilih jalan untuk bersederhana (saya bukan atas pagar tetapi tidak teringin mendaftar masuk mana-mana barisan yang membutuhkan kesetiaan tidak berbelah bagi over everything else), dipelihara Allah subhanawataala daripada fitnah Dajjal akhir zaman.  Amin Ya Rabbalalamin.

0 comments:

Imran N Hosein

Loading...