Kepentingan Bersedekah dan Berzakat.

Thursday, August 9, 2012

Mengapa Zakat Penting Kepada Orang Islam


Kita dituntut untuk mengeluar zakat jika mencukupi syaratnya. Namun masih ramai lagi yang tidak faham mengenai kepentingan dan kelebihan dalam berzakat dalam Islam ini.

Mengapa Zakat Penting Kepada Orang Islam | Sebagai satu perumpaan harta itu kotor, zakat yang membersihkannya. Demikian sejatinya ungkapan yang harus dimiliki oleh seorang muslim. Ungkapan ini sebenarnya tidaklah terlalu berlebihan, apatah lagi mengingat konsep zakat yang memiliki tujuan untuk membersihkan harta dan mensucikan jiwa, seperti dalam firman Allah SWT:

“Ambillah zakat itu dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan (harta) dan mensucikan (jiwa) mereka” (QS. At-taubah : 103)

Hak Fakir dan Yatim Untuk Membersihkan Diri
Ayat ini telah menegaskan begitu pentingnya erti zakat bagi mereka yang memenuhi kategori wajib zakat, iaitu para hartawan yang menginginkan harta yang bersih dan jiwa yang suci, sehingga hidup menjadi berkat. Kerana zakat sebagai ibadah maaliyah ijtimaiyah (ibadah yang terkait dengan harta dan jiwa sosial yang dimiliki) adalah satu-satunya cara untuk membersihkan harta dari segala kekotoran yang menghinggapinya. Maka dari itu, tidak dapat ditawar-tawar lagi, zakat adalah perintah Allah yang mutlak harus dipenuhi.

Ertinya, 2,5% dari harta (penghasilan) yang diperoleh secara rutin adalah hak orang lain samada harta itu daripada gaji, komisen, bonus dan lain-lain, yang memenuhi nisab zakat. Itulah yang dimaksud Zakat Penghasilan (Profesi). Allah SWT menegaskan dalam firmannya:

“Dan pada harta-harta mereka terdapat hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian (yang tidak meminta).” (QS. Adz-Dzaariyaat : 19)

Kalau dihitung secara matematik pun, bererti masih ada 97,5% dari penghasilan yang diperoleh. Nilai inilah yang boleh digunakan sepenuhnya. Jumlah ini masih sangat besar. Walaupun secara matematik jumlahnya berkurang tetapi nilai di sebaliknya bertambah, kerana keuntungan yang diperoleh akan jauh lebih besar. Mengapa demikian? Kerana harta itu akan menjadi bersih, kemudian berkat, lalu tumbuh dan berkembang, sebagaimana erti dari zakat itu, yang berasal dari kata”Zaka”, iaitu : Tumbuh dan Berkembang. Bukankah setiap orang menginginkan harta yang berkat, sehingga hidupnya senang, mudah, tenteram serta terlindung dari kegelisahan dan kekhuatiran.

Sayangnya, tidak semua orang mengetahui erti pentingnya zakat ini. Kalau pun ada sebahagian yang mengetahui, belum tentu orang-orang yang mengetahui erti pentingnya zakat ini, mahu untuk menunaikan zakatnya secara konsisten dan teratur. Mungkin kerana rendahnya pemahaman atau dangkalnya iman mereka.

Bagi mereka yang rendah imannya serta dangkal pemahamannya, bila mendengar perintah ‘zakat’, pasti akan sangat mengerikan dan dirasakan sebagai bahaya yang akan merosak ekonomi mereka dan mengurangi harta yang telah mereka peroleh dengan susah payah. Mereka akan sentiasa berupaya mencari cara agar tidak perlu berzakat dan masuk dalam kelompok orang yang tidak wajib zakat, dengan bebagai dalih dan alasan.

Mereka mengutarakan keperluan hidup mereka yang begitu banyak, mulai dari keperluan makan yang mewah, pakaian yang bagus, rumah besar, kendaraan mewah, jalan-jalan keluar negeri, dan keperluan-keperluan mewah lainnya yang sentiasa harus dipenuhi dan selalu dirasakan belum cukup. Apalagi bila harus dikurangi dengan berzakat. Kerana bila harus mengeluarkan zakat, apalagi harus berinfaq dan bersedekah, pasti keperluan hidup akan semakin tidak tercukupi. Harta yang diperoleh akan sentiasa dirasakan tidak cukup..tidak cukup..dan tidak cukup.

Lain halnya dengan orang-orang yang kuat keimanannya, mereka justeru menikmati indahnya ibadah bernama zakat ini, bahkan mereka menambah ibadah maaliyah ijtimaiyyah ini dengan memperbanyak sedekah, kerana mereka meyakini, sedekah yang mereka keluarkan tidak akan mengurangi harta mereka. Rasulullah SAW bersabda dalam salah satu hadis sahihnya dalam kitab Riyadhus shalihin:

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW mengatakan tidak akan berkurang harta kerana sedekah (HR. Muslim).
Sebuah kisah yang penuh dengan keagungan dalam menjalankan ibadah maaliyah ijtimaiyyah ini adalah kisah seorang tabi’in benama Uwais Al-Qorni. Walaupun hidupnya miskin, dengan pakaian yang penuh tampalan dan bekerja hanya sebagai penggembala, tetapi Uwais mengatakan : Aku ini adalah penggembala dengan gaji 4 dirham, tapi semuanya tidak masuk ke perutku. Ini kerana setiap kali Uwais menerima gaji,saat itu juga dia mengeluarkan sedekahnya untuk fakir miskin. Dalam sejarah kehidupan Uwais juga tercatat, dia makan makanan yang diambil dari tempat sampah, setelah dibersihkan, lalu dibelahnya menjadi dua (2) bahagian. Yang separuh dimakan dan sisanya disedekahkan.

dipetik daripada suarapeople.com

Oleh : Mufti Brunei

GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN 

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.

Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah amalan bersedekah.

Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah 

Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia  selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah  Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab: 21)

Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika berada di bulan tersebut. 

Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi daripada  dalam bulan-bulan yang lain.

Antaranya yang diberitakan oleh  para sahabat ialah sifat murah hati serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan Ramadhan.  Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang menceritakan bagaimana ringan  serta cepatnya tangan Baginda yang mulia itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas  Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam  bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan  Jibril ‘alaihissalam untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an dengan Jibril ‘alaihissalam).  Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril ‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sangat  pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup”.

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani  Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini, maksud  “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada  angin yang bertiup”  itu ialah betapa pantas dan ringannya  tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan  kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi  Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan  sebagai mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut. 

Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan itu adalah kerana  kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi dengan  keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.

Ini dikuatkan lagi dengan  keperibadian Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah daripada  limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada  siapa sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha. 

Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu yang paling afdhal untuk  bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.

Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.

Sebagai hamba Allah  Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani kekasihNya iaitu Nabi Muhammad  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?

Jadi rebutlah peluang  untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan  Ramadhan ini  dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.

dipetik daripada jomfaham.blogspot.com


6 info tambahan berkenaan dengan zakat sila klik zakat.com.my

Kadar Bayaran Zakat Fitrah 2012


Kadar bayaran Zakat Fitrah 2012 mengikut negeri-negeri seluruh Malaysia

Definisi ringkas,zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan atas diri setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan
Sumber kadar yang disertakan ini adalah menerusi daripada pusat zakat dan juga laman sesawang rasmi majlis agama islam mengikut negeri.

Panduan membayar Zakat

  • Bayaran perlu dilakukan kepada amil bertauliah dan dilantik oleh  Majlis Agama Islam Negeri masing-masing
  • Pastikan anda mendapat resit rasmi  Majlis Agama Islam Negeri
  • Sebaiknya menunaikan Zakat Fitrah di awal Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada golongan yang layak disempurnakan sebelum menjelang Hari Raya
NegeriTahun 2011 (RM)Tahun 2012 (RM)
Perlis6.006.00
Kedah7.007.00
Pulau Pinang7.007.00
Perak7.007.00
Selangor7.007.00
Negeri Sembilan6.506.50
Melaka6.506.50
Johor5.00/7.505.00/8.00*
Pahang7.007.00
Terengganu5.00/7.00/8.00*4.50/7.00/7.60*
Kelantan7.007.00
Sarawak6.206.50
Sabah7.007.00
(WP) Kuala Lumpur/Putrajaya/Labuan7.007.00
 *Bagi negeri Johor dan Terengganu berdasarkan harga,gred dan jenis beras yang dimakan
Harga Fitrah RM 5.00
Harga Fitrah RM 8.00
Umat Islam di Negeri Johor yang makan beras gred/jenis super tempatan 15% hancur (beras nasional) sahaja yang berharga RM1.80 sekilogram


dipetik daripada enciknakal.com


0 comments:

Imran N Hosein

Loading...