Syria, Realiti & Ilusi; Eyewitness Account

Friday, August 31, 2012


Wartawan bebas Anhar Kochneva telah bekerja dan hidup dikalangan rakyat Syria sudah lebih daripada sepuluh tahun.  Katanya keadaan di Syria sama sekali berbeza dengan apa yang telah dilaporkan oleh media massa.

Wanita ini berketurunan Russia (linguistik), beliau fasih berbahasa arab dan mempunyai kenalan dan jiran dikalangan rakyat Syria.  Beliau banyak bercampur dengan warga Syria, malah membeli-belah di rangkaian pasaraya yang sama dengan mana-mana rakyat Syria di ibu negara.  Kami menemuramah beliau dan bercakap tentang sebab-musabab yang menjadi punca kepada kekacauan berpanjangan yang berlaku di Syria.

‘Demonstrasi Jalanan’

Apakah terdapat tanda-tanda sebelum krisis ini bermula?

Sebenarnya tidak terdapat langsung tanda-tanda akan berlakunya krisis setahun yang lalu.  Tiada apa-apa yang luar daripada kebiasaan yang berlaku pada bulan Mac, 2011. Ianya bermula sebagai satu kes perbuatan jenayah. Saya sebenarnya amat bengang apabila ada wartawan yang menulis kononnya berlaku rusuhan dan demonstrasi jalanan di Syria beberapa bulan lalu.  Ianya tidak benar sama sekali.


Saya sudah tinggal tetap di Syria selama tujuh bulan kebelakangan ini, dan saya
hanya nampak tiga keadaan yang boleh dianggap sebagai demonstrasi.  Saya berkata demikian kerana ianya hanya dihadiri oleh beberapa orang dan ianya tidak lebih daripada sebuah ‘persembahan lakonan’ untuk para wartawan. ‘Protes’ dibuat rakaman video selama lima ke sepuluh minit sebelum orang ramai bersurai.  Di sesetengah bandar, penyamun yang menguasai bandar tersebut memaksa orang ramai untuk berdemonstrasi.



Saya telah datang ke Syria lewat tahun 90-an.  Ikhlasnya, saya tidak sukakan negara ini.  Setelah tinggal di sini beberapa lama, saya dapati negara ini sudah banyak berubah.  Kehidupan di sini juga sudah berbeza.  Orang ramai sudah mempunyai perniagaan sendiri; harta benda sendiri.



Jadi, mereka-mereka yang mungkin akan menyokong gerakan protes jika ianya dilakukan 10 tahun lalu, tidak akan berbuat sedemikian sekarang.  Rakyat kini, mahukan stabiliti.  Kini terdapat beberapa gangguan dan huru-hara. Dulunya negara ini aman.  Syria adalah sebuah negara yang paling selamat di rantau ini.  Sebelum ini jika anda tertinggal beg berisi wang di mana-mana dan kembali dua hari selepas itu, pasti beg tersebut tidak akan terusik dan masih di situ. Sekarang keadaan sudah jauh berbeza.  Orang ramai dalam ketakutan.  Keamanan dan keharmonian, sesuatu yang mereka banggakan dulu sudah dirampas daripada mereka. 




Dalam cengkaman penyamun

Siapakah yang merancang siri-siri letupan, peristiwa tembak-menembak dan merosakkan bangunan-bangunan?

Beberapa minggu lepas saya berada di Homs.  Saya berada di daerah yang dinamakan Baba Amr.  Kebanyakkan penduduk telah meninggalkan kediaman mereka.  Kawan-kawan saya tinggal lebih kurang 800 meter daripada daerah tersebut. Mereka menceritakan kepada saya, bahawa kumpulan penyamun telah melepaskan tembakan ke kawasan kediaman mereka.  Bukannya tentera Syria.  Pihak tentera Syria tidak akan menembak orang awam.  Mereka hanya akan menyerang balas apabila keadaan menjadi tidak terkawal.

Kebanyakkan daripada mangsa-mangsa perang pada bulan lepas terdiri daripada pihak tentera Syria sendiri. Pemberontak-pemberontak berperang di jalanan, rakam video dan membakar tayar. Jika anda perasan terdapat asap hitam dalam mana-mana video mereka, yang kebanyakkan ‘dihasilkan daripada telefon mudah alih’, ianya bukanlah disebabkan oleh bedilan daripada pihak tentera, ianya terhasil daripada tayar yang terbakar.

Sebulan lalu, saya berada di Zabadani, yang terletak di bahagian barat daya negara ini. Beberapa kumpulan penyamun melakukan huru-hara dan menimbulkan rasa takut dikalangan penduduk di situ. Kebelakangan ini kita selalu mendengar dan membaca tentang bencana kemanusiaan di Syria.  Ianya berlaku apabila sesebuah bandar atau tempat itu jatuh ke tangan sekumpulan penyamun.



Di Zabadani, rakan sekerja saya ditangkap oleh sekumpulan penyamun.  Mereka menunjukkan kepada kami sebuah kereta kebal yang sudah berkarat dan mendakwa bahawa kereta kebal tersebut telah menbedil bandar tersebut. Masalahnya, dua buah rumah yang rosak teruk berada ditengah-tengah bandar tersebut.  Saya sangsi kereta kebal tersebut boleh melakukan perkara tersebut samada dengan menembak ke udara ataupun menembak daripada bahagian sisi.  Mereka juga berusaha mengumpul beberapa orang awam dan mula melakukan ‘demonstrasi’ khas untuk kami berdua.  Pada ketika itu, saya perasan kebencian dan ketakutan yang teramat sangat terukir di wajah orang-orang awam tadi.  Mereka takut dan bencikan penyamun-penyamun itu.


Image: "Kebanyakan daripada mereka berkepala botak dan berjanggut.  Ramai memakai kasut sukan berwarna putih dan berseluar tentera," kata seorang yang didakwa sebagai 'pegawai yang belot' berkenaan dengan pelaku-pelaku "Pembunuhan Houla" Sebuah gambaran yang tepat berkenaan dengan teroris sektarian tajaan NATO yang menghancurkan Libya sebelum bergerak ke Syria (sini, dan sini) untuk meneruskan kempen genocide terancang.




Kisah askar upahan

Anda sering melabel mereka sebagi ‘penyamun’: bukankah mereka itu sebenarnya kumpulan pemberontak atau lebih tepat lagi kumpulan pembangkang?



Dikalangan mereka ini sebenarnya terdapat sejumlah askar-askar upahan. Ada yang berketurunan Chechnya, Romania, Perancis, Libya dan juga Afghanistan.  Sebenarnya terdapat satu persitiwa yang agak melucukan membabitkan askar-askar yang datang daripada Afghanistan.  Beberapa orang daripada mereka ini tertangkap dan ditanya, ‘Apa yang kamu semua buat di sini?’ Mereka menjawab, ‘Kami diberitahu yang kami akan dibawa ke Israel, dan pada waktu malam kami menembak kea rah bus-bus daripada Israel.  Kami sedang berperang dengan musuh untuk membebaskan Palestin.  Ianya mungkin melucukan, tetapi ianya benar-benar berlaku.  Askar-askar Afghanistan terkejut beruk bila diberitahu yang mereka sedang berada di Syria dan bukannya Israel.  ‘Kami fikir kami di Israel!’

Penjenayah-penjenayah berketurunan Syria juga bersenjata.  Mereka ini merupakan penjenayah dalam erti kata sebenar dan sepatutnya berada dalam penjara.  Mana-mana negara sekalipun mempunyai masalah ini.  Sememangnya kumpulan penjenayah ini jika mereka dapat mengawal sesebuah bandar mereka akan membakar rekod-rekod jenayah.
Di mana-mana saja pasti terdapat sekumpulan orang yang gilakan kuasa, yang tidak mahu bekerja tetapi mahu mempunyai wang. Kes kecurian di Syria kini meningkat dengan mendadak.  Walaupun kumpulan penjenayah ini tidaklah seramai mana, namun cukup menghuru-harakan sesebuah bandar.  Dua orang penembak curi sudah cukup untuk melumpuhkan kehidupan seharian.


Mereka mahu melakukan huru-hara, bukannya reformasi

Pilihanraya parlimen diadakan pada 7 haribulan Mei, 2012.  Adakah pihak pembangkang menyertai pilihanraya tersebut?

Ya, dan mereka sangat aktif berkempen.  Hampir ke semua dinding-dinding di negara ini dipenuhi dengan poster-poster calon pilihanraya.  Dilaporkan terdapat lebih kurang 7200 calon yang bertanding merebut 250 kerusi.  Apakah yang membuatkan anda yakin bahawa pilihanraya tersebut tidak demokratik? Siapa kata? Pemimpin-pemimpin pihak pembangkang?  Mereka hidup di luar negara, di Eropah, berdekad-dekad lamanya.  Apa yang mereka tahu tentang Syria kini?  Apakah mereka memahami aspirasi dan keperluan kami? Biar rakyat Syria sendiri yang menentukan hala tuju negara ini.






Konflik di Syria, siapa lawan siapa sebenarnya?

Ianya sesuatu yang tragik, Syria sebenarnya menjadi batu penghalang kepada keupayaan Amerika Syarikat untuk mengubah paksi kuasa di Timur Tengah. Sila baca buku, Where to InvadeNext, suntingan Stephen Elliot, dan anda akan lebih memahami Arab Spring.
Terima kasih kepada media global, kita semua sekarang bergerak bersama-sama realiti media alternatif.  Seluruh dunia kini sedang menonton sebuah tayangan gambar yang tidak pernah wujud; ianya tidak lebih hanyalah sebuah fiksyen yang dicanang-canang sebagai kisah benar.  Pendapat orang ramai dimanipulasi secara halus.

Pemerhati Bangsa-Bangsa Bersatu, lihatlah sendiri!



Bagaimanakah penerimaan terhadap pelan damai Annan di Syria?

Ada juga yang berpendapat bahawa, langkah ini diambil semata-mata untuk membolehkan penyamun-penyamun tadi menyusun semula barisan kumpulan mereka.  Orang ramai yang kami jumpa di Homs yakin bahawa tentera Syria akan dapat menyelesaikan permasalahan ini dalam masa lebih kurang seminggu.  Dalam pada itu, ada juga versi lain: yang mendakwa Amerika Syarikat mahu keluar daripada permasalahan ini secara terhormat.

Keputusan Bangsa-Bangsa Bersatu akan menyelebelahi Kerajaan Syria. Saya sukakan versi yang kedua. Inilah sebenarnya kebenaran, masakan kita semua tidak nampak.  Sekali-sekala bolehlah kita menipu.  Tetapi tidak sepanjang masa. Saya yakin 300 pemerhati Bangsa-Bangsa Bersatu akan memahami situasi sebenar di sini.  Paksa mereka untuk menipu-saya rasa ianya sukar.



Pada bulan Januari lepas, sebuah misi daripada Liga Arab telah menyediakan sebuah laporan terperinci tentang peristiwa yang berlaku di Damsyik. Laporan tersebut antara lain melaporkan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak polis di Homs bertepatan dengan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata.  Malangnya, laporan suruhanjaya Liga Arab tidak diterbitkan.  Saya amat berharap supaya wakil-wakil Bangsa-Bangsa Bersatu terdiri daripada orang baik-baik, yang akan melaporkan situasi di sini secara objektif.

Akhir sekali, adakah anda menyokong Kerajaan Syria?

Saya?  Saya tidak kenal sesiapa dalam kerajaan. Namun saya menyokong penuh rakyat Syria. Tidak ada yang lain.


Gambar-gambar dan video-video dalam terjemahan ini tidak berkaitan artikel sebenar (link ada dibawah-gbtimes), namun dimasukkan penulis kerana ianya bersesuaian untuk memahami konflik ini dengan lebih mendalam.

Baca dengan lebih lanjut tentang krisis di Syria dalam ruangan Third Angle

Dipetik dan diterjemah daripada gbtimes

0 comments:

Imran N Hosein

Loading...