MNLF Nur Misuari & Keganasan Di Lahad Datu, Sabah

Sunday, March 17, 2013

Dalam akhbar Harakah yang boleh anda semua baca di sini lelaki ini Nur Misuari pengasas dan ketua kepada MNLF, menafikan terlibat dalam konflik bersenjata yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah.  Beliau menegaskan bahawa beliau dan isterinya berada di Afrika Selatan apabila semua ini berlaku, masakan beliau boleh terlibat.  Kelakar, walaupun agak masuk akal, terutamanya kepada mereka-mereka yang akal tidak berapa panjang!

Namun dalam video ini beliau bercakap tentang keperluan untuk gerakan seperti beliau mempertahankan keselamatan 1.5 juta bangsa suluk yang berada di serata Sabah.  Malah dengan angkuh pula menceritakan amaran yang telah diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia supaya tidak mengapa-apakan rakyat suluk, jika tidak, ini bermakna bahawa Malaysia telah mengisytiharkan perang ke atas bangsa suluk.

Masalahnya di sini, rakyat suluk yang berada di Sabah merupakan rakyat Sabah, salah sebuah negeri di Malaysia.  Mereka hidup aman damai malah ada yang berjaya dalam kerjaya dan perniagaan mereka sehingga mampu menggunakan kekayaan mereka untuk membantu perjuangan bangsa suluk yang berperang melawan kerajaan Filipina, negara yang menjajah mereka.  Mereka juga tidak mengangkat senjata memerangi kerajaan sendiri, dan jika ini berlaku sekalipun Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang wajib untuk menguruskan perkara tanpa sebarang campur tangan luar, sama-ada Amerika Syarikat (yang sememangnya mengintai peluang sedemikian), Filipina (baling batu sembunyi tangan) mahupun MNLF atau tentera Kesultanan mana sekalipun, Sulu baikpun Kiram!

Persatuan Rumpun Suluk Sabah (PRESS) juga berikrar taat-setia kepada Malaysia.  Jadi rakyat suluk mana yang mahu dilindungi Nur Misuari seperti yang diperkatakannya dalam video ini?


Adakah pengganas suluk daripada Filipina yang dimaksudkan beliau?  Adakah mereka-mereka yang menceroboh negara orang dengan bersenjata dan membunuh rakyat negara yang mereka ceroboh itu dengan kejam, yang beliau maksudkan?  Adakah kita tidak berhak untuk bertindak-balas ke atas perbuatan keganasan mereka kerana amaran daripada Nur Misuari bahawa tindak balas kita adalah perisytiharan perang ke atas mereka?  Tidakkah kita berhak mempertahankan kedaulatan tanahair kita dan keselamatan rakyat kita sendiri?


Semakin lama kita memikirkan penerangan lelaki ini yang pernah meminta pertolongan kita suatu ketika dahulu, semakin tidak masuk akal dan pening jadinya.  Bagaikan melepaskan anjing tersepit, kita sebenarnya tersalah pilih kawan.  Tangan yang dahulunya banyak menghulur bantuan kepada perjuangan panjang bangsa ini, rupa-rupanya digigit mereka dengan ganas sekali!

Masalahnya kenapakah sesetengah daripada kita masih mahu bersahabat dengan orang seperti ini?  Perlukah kita membantu lelaki seperti ini yang sememangnya merupakan ancaman kepada kedaulatan negara kita?  Masihkah ada titik temu yang dapat memberi manfaat kepada negara, bangsa dan agama apabila kita berasosiasi dengan pengasas gerakan bersenjata seperti ini?


0 comments:

Imran N Hosein

Loading...