Hegemoni AS di Asia Tersungkur di Malaysia-Tony Cartalucci-Bahagian Satu

Wednesday, May 22, 2013
Cita-cita penguasaan pengaruh hegemoni Wall Street dan London di Asia, dengan menyokong rejim-rejim proksi di Asia Tenggara dan menggunakan blok supranasional ASEAN untuk mengekang dan mengawal kemaraan pengaruh China mendapat tamparan hebat beberapa hari ini apabila proksi Barat dan ketua pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim yang mengepalai Pakatan Rakyat, kalah pada Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-13.

Pakatan Rakyat yang cuba berkempen di atas platform anti rasuah dan ketelusan nampaknya tidak lebih daripada cubaan verbatim Barat untuk menundukkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia melalui politik tempatan seperti yang berlaku baru-baru ini di Venezuela dan di Rusia pada tahun 2012.


Seperti juga di Rusia di mana sebuah badan 'bebas' pemerhati pilihanraya, GOLOS didapati mendapat dana secara terus daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui National Endowment for Democracy (NED), Merdeka Center for Opinion Research, badan pemerhati pilihanraya, juga mendapat dana daripada Amerika Syarikat melalui NED. Walaupun begitu, media-media Barat, dalam keghairahan mereka mempromosikan Pakatan Rakyat tajaan Barat, berkali-kali memilih untuk melabelkan badan tersebut sebagai sebuah badan pemerhati "bebas".


BBC dalam artikelnya, "PRU Malaysia, Catat Rekod Yang Keluar Mengundi", memilih untuk bercakap tentang 'penipuan dalam pilihanraya' yang acapkali digunakan oleh Barat untuk menidakkan keabsahan proses pilihanraya di Malaysia, kerana khuatir kalau-kalau proksi mereka gagal menang nanti, dan Merdeka Center yang ditaja Amerika Syarikat cuba untuk menegakkan benang yang basah. Fakta-fakta tentang tajaan negara asing dan kredibiliti yang boleh diragui tidak pernah dibangkitkan:

Tuduhan bahawa berlaku penipuan sudah muncul sebelum pilihanraya umum berlangsung. Sesetengah daripada mereka yang sudah mengundi melaporkan kepada BBC NEWS bahawa, dakwat kekal-yang sepatutnya kekal selama beberapa hari-senang tertanggal apabila dibasuh.

"Dakwat kekal mudah dibasuh dengan air dan akan hilang dalam beberapa saat. Pengundi, Lo, memberitahu BBC NEWS daripada Skudai, Johor."

Seorang lagi pengundi menulis "Keluar mengundi pada pukul 10.00 pagi, dan ditanda dengan dakwat kekal. Pukul 12.00 tengah hari dakwat kekal sudah berjaya dibasuh. Jika saya didaftarkan dengan nama yang berbeza dan No KP yang berbeza di kawasan pilihanraya yang berdekatan, saya akan dapat membuang sekali lagi undi sebelum jam 5.00 petang!"

Pihak pembangkang juga menuduh pihak kerajaan menaja penerbangan pengundi-pengundi mereka ke negeri-negeri tertentu, yang mana dakwaan ini dinafikan pihak kerajaan.

Merdeka Center sebuah pemerhati bebas ada menerima laporan yang belum disahkan tentang rakyat asing yang diberikan KP warganegara dan dibenarkan mengundi. (Bold oleh Pengarang TC)

Walaubagaimanapun, sebuah badan bebas yang memerhati proses pilihanraya yang ditaja oleh kerajaan asing yang secara terbuka cuba untuk menjatuhkan parti pemerintah sekarang untuk pencacai Wall Street yakni Anwar Ibrahim tentu sekali tidak "bebas".

Hubungan di antara Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak berakhir dengan Merdeka Center sahaja, malah berterusan dengan gerakan jalanan pihak pembangkang, "Bersih". Bersih mendakwa bahawa badan ini memperjuangkan sebuah pilihanraya yang adil dan bersih, ia sebenarnya sebuah bahana untuk Anwar mengerakkan protes jalanan. Pemimpin Bersih, Ambiga Sreenevasan telah mengaku bahawa pertubuhan pimpinannya itu ada menerima dana kewangan daripada Amerika Syarikat daripada penaung NED yakni, National Democratic Institute (NDI) dan sebuah badan Open Society Institute yang digerakkan oleh George Soros, penyangak matawang yang pernah didapati bersalah.

Malaysian Insider melalui laporannya pada 27hb Jun, 2011, bahawa pemimpin Bersih, Ambiga Sreenevasan:
"...mengaku bahawa Bersih ada menerima dana kewangan daripada dua badan Amerika Syarikat yakni, NDI dan Open Society Institute-untuk projek lain yang tidak berkaitan dengan demo pada 9 Julai."

Laman sesawang NDI ada memperincikan tentang saluran dana dan latihan yang diberikan oleh badan Amerika Syarikat itu sebelum mereka menukarkannya kepada sesuatu yang lebih 'selamat' tanpa menyatakan langsung tentang Bersih. Perbuatan ini sudah tentu akan mengukuhkan dakwaan bahawa terdapat usaha jahat yang sedang dilakukan secara rahsia oleh kedua-dua badan ini.



Foto: Laman sesawang NDI sebelum mereka mengambil turun penulisan yang mengaitkan mereka dengan gerakan Bersih.

Sokongan yang diberikan oleh Barat kepada Anwar Ibrahim secara berselindung bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada mereka-mereka yang biasa dengan latar sejarah susuk yang bernama Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Pengerusi untuk Jawatankuasa Pembangunan World Bank dan International Monetary Fund (IMF) pada tahun 1998, pensyarah di School of Advanced Internation Studies di Universiti John Hopkins, penasihat kepada World Bank, salah seorang daripada ahli panel pilihan Neo-Con "Anugerah Demokrasi" NED dan salah seorang daripada ahli panel pada sebuah majlis mengutip dana NED -sebuah badan yang sama, yang menaja Bersih dan juga badan pemerhati "bebas" Merdeka Center-yang boleh diterjemahkan sebagai pembangkang yang bertanding untuk memegang tampuk kuasa di Malaysia bukanlah untuk rakyat Malaysia tetapi hanyalah untuk memperhambakan Malaysia kepada Wall Street dan London.


Foto: Diambil daripada sebuah majlis National Endowment for Democracy untuk Anugerah Demokrasi 2007 yang diadakan di Washington D.C., Anwar Ibrahim dapat dilihat berdiri dibahagian yang paling kiri sekali sebagai "ahli panel". Tidak hairanlah sekarang ini jika NED membantu beliau memegang tampuk kuasa Malaysia semula.

Realitinya, pemimpin-pemimpin Bersih, Anwar Ibrahim dan beberapa penaja asing mereka cuba untuk mengerakkan rakyat Malaysia melalui ketidakpuasan hati mereka supaya dapay diekplotasi untuk menjayakan projek mereka untuk memerintah Malaysia. Walaupun ramai pihak yang akan mengatakan bahawa gerakan pilihanraya bersih dan adil merupakan perjuangan sebenar Bersih dan Anwar Ibrahim, dan dana tajaan Amerika Syarikat melalui NED naungan NDI dan Open Society Institute tajaan penyangak matawang penjenayah bilionair George Soros adalah tidak membahayakan, siasatan terperinci terhadap badan-badan ini, modus operandi mereka, dan agenda umum mereka mendapati Anwar Ibrahim dan Bersih sedang bergerak untuk menjahanamkan Malaysia dan rakyatnya.

Ketika Bersih, seperti yang telah dijangka sedang mengerakkan protes jalanan untuk Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim apabila mereka gagal untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-13 Malaysia, adalah menjadi sesuatu yang amat penting untuk semua rakyat Malaysia untuk benar-benar memahami apabila organisasi-organisasi Barat menaja untuk menjatuhkan parti pemerintah dan memecah-belahkan mereka sesama sendiri, dan kenapa ini dilakukan dalam konteks perluasan hegemoni Amerika Syarikat di Asia.



terjemahan ini akan bersambung dalam sedikit masa lagi.








0 comments:

Imran N Hosein

Loading...